Memasuki separuh kedua Ramadan tahun ini bukan juga sesuatu yang mudah bagi rakyat Palestin khususnya di Gaza, kerana mereka masih bergelut dalam suasana yang penuh kesempitan dan mencabar kesan tiga tahun perang Taufan al-Aqsa. Sungguhpun begitu, dalam keadaan serba kekurangan dan kebuluran akibat pembantaian rejim Zionis yang masih berterusan ini, mereka akan selalu menemukan cara untuk tetap terus bertahan hidup, berbekalkan keimanan dan kesyukuran sebagai tunjang utama kekuatan.
Oleh kerana manusia ada cara yang berbeza-beza dalam berinteraksi dengan Ramadan, bergantung pada bagaimana mereka memahami dan memandang bulan penuh kemuliaan ini. Maka, tahap penghayatan dalam memaknainya juga akan berbeza-beza.
Ada yang melihat Ramadan sebagai bulan ibadah iaitu ruang terbaik untuk menyucikan hati daripada kotoran dan kesibukan dunia yang sebelum ini banyak melalaikan. Lalu menjadikan sebulan ini sebagai tempoh untuk membentuk jiwa versi terbaik pada pandangan Allah. Ada juga yang memandang Ramadan sebagai peluang perniagaan; maka fokus dan kehidupan sehari-hari mereka sepanjang tempoh ini terletak pada bagaimana mencari rezeki dan memanfaatkan peluang berniaga yang ada. Tidak kurang juga ada yang memandang Ramadan sebagai bulan hiburan; apabila waktu lapang yang panjang banyak dihabiskan di hadapan skrin dengan rancangan televisyen dan drama bersiri atas alasan bentuk kerehatan.
Walau berbeza pandangan kita menilainya, hakikat bulan mulia ini tidak akan pernah berubah. Ramadan adalah bulan yang Allah SWT muliakan dengan penurunan al-Quran, pintu rahmat dan pengampunan dibuka seluas-luasnya kepada para hamba-Nya. Justeru, Ramadan juga adalah bulan terbaik untuk mendidik empati insan; menghayati dan berkongsi kesusahan manusia yang ada di sekeliling.
Berbeza dengan rakyat Palestin di Gaza, Ramadan tidak hanya sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan yang menguji kelangsungan mereka untuk terus bertahan hidup. Di tengah-tengah kemusnahan, sekatan dan kehilangan keluarga tersayang, Ramadan mendidik mereka erti sebuah kehidupan.
Seperti kebanyakan bangsa dan masyarakat lain di dunia, rakyat Palestin juga memiliki tradisi tersendiri dalam menyambut bulan Ramadan. Jika Ramadan sebelum perang, para ibu akan menyiapkan pelbagai juadah berbuka untuk keluarga masing-masing. Hidangan terkenal seperti fatteh, nasi kabsah, katayef, salad dan pelbagai hidangan lain pasti akan ada di meja makan mereka. Sementara, para ayah dan ahli komuniti setempat akan bersama-sama memasang lampu fanus di lorong-lorong dan jalanan sekitar rumah. Tidak ketinggalan pula masjid-masjid mula diimarahkan dengan program-program al-Quran seperti hafazan dan tadarus untuk anak-anak.
Namun realiti hari ini, perang genosid yang dilancarkan rejim Zionis telah merampas segala-galanya. Mereka tidak hanya berdepan dengan harga doh yang meningkat tiga kali ganda untuk menghasilkan katayef akibat sekatan Zionis di sempadan, atau harga kurma daripada 25 shekel (sekitar 6.8 dolar) sekotak, kini dijual dengan harga 20 shekel (sekitar 5.4 dolar) sekilogram. Tetapi lebih daripada itu, mereka terpaksa tinggal di khemah-khemah sementara di jalanan. Terpaksa beratur tiga hingga ke lima jam hanya untuk mendapatkan air bersih yang terhad. Ada juga yang masih kekal di rumah masing-masing meskipun yang tersisa hanyalah sisa-sisa runtuhan.
Di sebalik semua ini, sebenarnya ada nilai besar yang boleh kita pelajari daripada sikap rakyat Gaza. Bagaimana ujian yang mereka hadapi semisal perang yang telah berlangsung selama lebih dua tahun lima bulan ini menjadikan mereka bangsa terbaik yang dipandang tinggi dan contoh model kekuatan bagi seluruh umat.
Meskipun dalam keadaan serba kekurangan dengan realiti yang penuh mencabar, semua itu tidak menghalang mereka untuk terus menghidupkan bulan ini dengan pesta ibadah, pengharapan dan sangka baik mereka pada Allah SWT. Bagi mereka, Ramadan adalah hadiah istimewa kurniaan Allah SWT pada saat ini. Di saat masyarakat dunia masih gagal menghentikan genosid yang berlaku, Allah izinkan mereka memasuki Ramadan dengan cara yang cukup sederhana; dengan ruh yang penuh pengharapan.
Masjid-masjid yang runtuh sepenuhnya, mahupun yang separa musnah akibat perang, kembali dibina. Majlis-majlis pengajian al-Quran digerakkan setiap hari dengan mengumpulkan kanak-kanak, generasi muda semuanya menghabiskan masa bersama al-Quran. Halaqah wanita juga dihidupkan. Aktiviti-aktiviti keagamaan dan tarbiyah terus digerakkan tanpa menghiraukan realiti sekeliling yang menyedihkan.
Hari ini, dunia mengiktiraf mereka sebagai pemenang dalam konflik berdepan musuh penjajah. Walaupun mereka tidak menang dengan kekuatan ketenteraan. Tetapi mereka telah pun menang tatkala yang muncul dari mulut mereka adalah kalimah, “Alhamdulillah.” Rasa yang terzahir ini tentunya bukan sesuatu yang boleh direka-reka. Tetapi, terbit dari keimanan dan hati yang tetap bersyukur atas segala apa yang berlaku. Hati yang tidak mempersoalkan atau bahkan menyalahkan takdir. Kerana hasil dari rasa syukur ini adalah kebahagiaan dan ketenangan, yang seterusnya membuka pintu nikmat-nikmat Allah yang lain.
Ramadan di bumi Gaza, Palestin mengajarkan kita, untuk menghidupkan bulan ini tidak memerlukan suasana dan tempat yang selesa, tubuh badan yang sempurna, atau bermacam hidangan yang memenuhi meja makan saat berbuka. Tetapi cukup disambut dengan hati yang reda, mengharapkan pengampunan dan ketakwaan daripada Allah. Walaupun diuji dengan kesakitan, kehilangan, kebuluran dan peperangan, mereka tetap memenuhi tuntutan berpuasa dan berusaha mengimarahkan Ramadan.
Sejak awal mereka telah pun menang dalam pertarungan ini. Menang ke atas hawa nafsu yang membelenggu sebelum menang ke atas musuh yang menjajah tanah air tercinta. Minda mereka telah dibentuk bahawa kemenangan sebenar tidak terletak pada materi, tetapi pada prinsip mempertahankan bumi yang diberkati. Justeru itu mereka memandang, bulan Ramadan sebagai titik kekuatan. Ruang terbaik untuk memperbaiki diri, memulih dan mempersiapkan generasi untuk masa depan Palestin yang merdeka.
Lia Maryam binti Faisal
Aktivis ISMA Cawangan Bangi


