Beri Bayi Minum Arak, Bagi Kesan Buruk Pada Tubuh

Baru sahaja beberapa hari kita menyambut Hari Bapa, negara digemparkan dengan penularan video seorang lelaki berusia 19 tahun, bergelar bapa memberi bayinya minum minuman keras. Video yang mencetuskan kemarahan orang ramai ini telah membawa kepada penangkapan lelaki tersebut di rumahnya tengah hari semalam.

Persoalannya, mengapakah perkara ini menimbulkan kemarahan orang ramai?
Mana-mana manusia yang berakal waras pasti akan marah melihat perlakuan lelaki ini terhadap bayinya, sama seperti seorang ibu yang menyuakan vape kepada anak kecilnya dahulu atas dasar ‘suka-suka’ dan ‘suka hati akulah, anak aku’.

Walaupun dalam kes ini motif perbuatan bapa tersebut masih belum dikenal pasti, namun sekiranya benar bayi itu diberikan minuman keras, maka kita semua patut berasa marah kerana minuman keras mempunyai kesan buruk terhadap tubuh badan, sehingga dalam Islam ianya dilarang sama sekali. Kesan pengambilan minuman keras, antaranya terhadap otak adalah mengganggu keseimbangan sistem transmisi neuron (neurotransmission system), menjejaskan memori, malah pengambilan alkohol secara berpanjangan mampu memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mental pengambilnya.

Ini termasuk kesan seperti halusinasi, terjejas percakapan, hilang rasionaliti dan sel-sel otak menyusut kerana mati akibat ketidakseimbangan bahan transmisi neuron. Itu belum lagi kita cerita kesan minuman keras kepada organ dalaman lain termasuk jantung dan hati. Semua ini adalah kesan yang direkodkan akibat pengambilan minuman keras dalam kalangan orang dewasa. Sudah tentu kesannya jauh lebih buruk sekiranya diberikan kepada bayi yang masih kecil, di mana fasa 5 tahun pertama adalah sangat kritikal untuk perkembangan otaknya.

Perbuatan terkutuk dan sangat tidak berperikemanusiaan ini, sekiranya benar dibuktikan bersalah, amat wajar diberikan hukuman yang berat. Perkara ini kerana derita yang perlu ditanggung oleh bayi yang tidak berdosa itu (sekiranya benar diberikan minuman keras dan berulangan) bukan hanya akan menjejaskan kesihatan akal dan fizikalnya sekarang, tetapi mungkin boleh berkekalan bagi satu tempoh masa yang panjang.

Sesungguhnya, solusi kepada masalah masyarakat yang tenat hari ini adalah kembali kepada pegangan Islam. Peranan bapa dihurai serta diperhalusi dengan begitu terperinci di dalam Al-Quran sebagai pelindung dan pendidik zuriat. Imam Ibn Al-Qayyim sendiri mengungkapkan bahawa: ‘Tidak ada yang lebih merosakkan anak-anak berbanding kelalaian para ayah terhadap anak mereka’ (Tuhfatul Maudud).

Sekiranya kelalaian sendiri sudah cukup merosakkan anak-anak, bagaimanakah pula dengan kegilaan seperti ini?

Prof Madya Dr Madihah binti Rushaidi

Aktivis I-Medik Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat