Jaga adab dalam ikhtilat

Oleh Habsah Binti Abdul Shaer

PORT DICKSON, 20 Ogos– “Cuba bayangkan bila seorang lelaki berbaju melayu bertemu dengan seorang wanita berbaju kurung bertudung litup tanpa ditemani mahramnya, apa agaknya yang akan berlaku? Adakah pakaian itu mampu menghalang mereka dari melakukan zina?”

Inilah persoalan yang ditimbulkan oleh ustazah Hamidah Abdul Latif, aktivis Isma Port Dickson sebelum memulakan tazkirah bertajuk ‘Ikhtilat’ dihadapan siswi-siswi Kolej Vokasional Port Dickson.

“Ikhtilat adalah percampuran wanita dengan lelaki sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian yang kebiasaannya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandang-pandangan, berkomunikasi dan saling bertegur sapa” Jelas Ustazah Hamidah.

Ustazah Hamidah turut menjelaskan hukum asal pergaulan lelaki dan wanita adalah haram berdasarkan dalil dari surah al-Israa’ ayat ke 32 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”

Walaubagaimanapun, menurut ustazah Hamidah, Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendapat yang pertengahan (mutawasit). Iaitu, berserderhana dalam percampuran lelaki dan wanita, tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak juga menghalalkan secara mutlak untuk situasi-situasi tertentu seperti berjual beli, belajar, bekerja dan dalam keadaan darurat.

“Ikhtilat boleh berlaku bukan sahaja secara bersua muka, malahan boleh berlaku melalui telefon, media sosial seperti Instagram dan Facebook, aplikasi WhatsApp dan Telegram dan lain-lain lagi cara komunikasi yang membolehkan perhubungan atau interaksi antara lelaki dan wanita berlaku.”

“Pada zaman sekarang, kita semua tidak dapat lari daripada masalah ikhtilat ini kerana banyak komunikasi yang berlaku pada hari ini adalah melalui media sosial,” terang ustazah Hamidah lagi.

Sebagai penutup tazkirah pada  petang itu, ustazah Hamidah mengingatkan para pelajar agar sentiasa menjaga adab-adab berikhtilat seperti bercakap dengan bahasa dan suara yang tidak manja, berkomunikasi yang perlu sahaja, tidak menggunakan ikon-ikon mesej yang berlebihan, menutup aurat dan tidak berlaku sentuhan antara lelaki dan perempuan jika bertemu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat