Ummul Mukminin Siti Khadijah sebaik-baik ikutan muslimah kontemporari

Khadijah bintu Khuwailid bin Asad bin Abd al-Izz bin Quraisy merupakan anak kepada Khuwailid ibn Asad dan Fatimah binti Za’idah dan termasuk dalam suku Bani Hashim. Dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah atau 15 tahun sebelum tahun gajah. Beliau adalah merupakan isteri pertama Baginda Muhammad SAW.

Beberapa sifat terpuji Khadijah yang agak menonjol ialah beliau seorang yang cerdas, terpelihara, bersih, pemaaf, pemurah, teguh pendirian, teliti, pintar, pandai menjaga diri, bersih hati, cantik, pemalu dan merasa puas berbuat sesuatu dengan adil.

Beliau juga dikenali sebagai wanita yang baik akhlaknya dan terhormat keturunannya sehingga digelar Al-Thahirah (wanita yang suci). Khadijah juga merupakan seorang wanita kaya dan salah seorang peniaga yang penting di kota Mekah.

Kisah kejujuran seorang lelaki bernama Muhammad bin Abdullah menyebabkan Khadijah tertarik hati untuk mengupahnya menjalankan perniagaannya di Syam. Di samping hasil perniagaan tersebut telah mendatangkan hasil yang lumayan, Khadijah telah tertarik dengan sifat mulia dan amanah yang dipamerkan olehnya lantas melamar baginda saw.

Perkahwinan mereka berjalan dengan meriah sekali dan disaksikan oleh Bani Hashim dan pembesar Mudar. Muhammad SAW telah memberikan 20 ekor unta kepada Khadijah sebagai mahar. Rumahtangga yang dibina aman dan bahagia. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Qasim, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Fatimah dan Abdullah.

Peranan Khadijah dalam membantu baginda saw begitu besar sekali sama ada dalam aspek pembentukan watak dan keperibadian yang mantap mahu pun dalam berfikir. Ketika baginda saw menerima wahyu pertama dengan tiba-tiba yang membuatkan baginda saw benar-benar bingung dan gugup, baginda saw bergegas pulang lalu berkata kepada isterinya Khadijah, “ Selimutkan aku wahai Khadijah”.

Khadijah segera melakukan seperti yang disuruh. Selepas seketika, baginda saw kembali tenang lalu menceritakan perkara yang terjadi kepadanya. Dengan penuh kesabaran dan kasih sayang Khadijah berusaha menenangkan baginda saw dengan berkata : “Demi Allah! Tentulah Allah tidak menimpakan kehinaan kepadamu.

Selama ini engkau adalah seorang yang suka menyambung tali kekerabatan, menyantuni orang yang melarat. memegang teguh amanah, memuliakan tetamu,dan suka membantu mereka yang kesusahan semata-mata kerana kebenaran.”

Khadijah telah menyambut dakwah suaminya dengan penuh semangat. Lalu tercatatlah dalam sejarah bahawa beliau merupakan orang yang pertama beriman dan membenarkan risalah baginda SAW. Tahun-tahun selepas kerasulan baginda merupakan tahun yang mencabar sekali dan penuh ujian kepada baginda SAW dan para sahabatnya.

Kegiatan dakwah baginda SAW dihalang dan beberapa pengikutnya ditindas secara kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun tindakan dan tekanan yang berat dari pihak Quraisy ini membuatkan Khadijah semakin bertambah yakin tentang kebenaran risalah yang dibawa oleh suaminya. Beliau terus mendampingi baginda SAW dengan setia, menghibur, mengubati luka hatinya, memotivasikannya serta menyokongnya dengan harta. Malah, curahan kasih sayangnya yang keibuan membuat semangat baginda saw semakin kuat.

Beliau juga tidak ragu-ragu menyumbangkan hartanya untuk kepentingan jihad. Begitulah yang berlaku ketika peristiwa pemulauan orang-orang Quraisy terhadap umat Islam iaitu dari kalangan Bani Hashim dan Bani Syaibah. Ketika mana aktiviti perniagaan dan sosial serta bekalan makanan dan minuman disekat dan dicatu supaya penganut Islam mengalah kepada kaum kafir, baginda saw dan Khadijah telah menggunakan kesemua wang mereka untuk membantu umat Islam.

Di usia 65 tahun beliau jatuh sakit sehingga pulang ke rahmatullah pada 10 Ramadan tahun kesepuluh dari kerasulan baginda Muhammad SAW. Kematian Khadijah merupakan kehilangan yang besar kepada baginda SAW.

Begitu banyak sekali keistimewaan yang ada pada susuk tubuh bidadari Rasulullah saw ini. Selain mempunyai nasab dan keturunan dari golongan yang mulia dan ternama, Khadijah satu-satunya wanita yang mendapat kiriman salam daripada Allah swt dan malaikat Jibril as melalui malaikat Jibril as.

Semasa hayat beliau juga tidak pernah dimadukan oleh baginda SAW. Selain itu, beliau bukan sahaja disebut sebagai salah seorang wanita penghuni terhormat di dalam syurga, malah Allah swt telah menyediakan untuknya sebuah rumah di syurga diperbuat dari permata.

Beliau juga disebut sebagai wanita yang terbaik di dunia selain Maryam binti Imran. Khadijah mendapat tempat yang sangat istimewa di hati baginda saw sehingga beliau sentiasa dikenang dan disanjung oleh nabi saw. Ingatan kasih dan sayang baginda saw kepada Khadijah masih terlihat kerana walaupun selepas wafatnya Khadijah baginda saw masih memberi layanan istimewa kepada sahabat Khadijah dengan menghantar makanan kepadanya.

Daripada kisah Khadijah RA ini, terlalu banyak keistimewaan dan contoh tauladan yang boleh diambil oleh kita sebagai wanita Islam yang sentiasa berusaha untuk menjadi wanita yang solehah dan mulia di sisi Allah SWT. Keluhuran akhlak dan budi pekerti seharusnya sentiasa menghiasi keperibadian kita sebagai wanita Islam yang memelihara diri dan bermaruah.

Namun ianya tidak sekali-kali menafikan hak wanita bersama-sama kaum Adam bekerja mencari harta dan kekayaan untuk disumbangkan bagi manfaat ummah dan Islam. Seperkara yang jelas juga,wanita Islam dari dulu lagi dan selamanya akan menjadi tulang belakang para suami, penyuntik semangat dan motivasi untuk mereka berusaha sedaya upayanya memberi khidmat bakti kepada Islam.

 

Ustazah Wirdaningsih Ahmad

Ketua Wanita Isma Shah Alam 

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat