Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan kisah buli dalam kalangan pelajar sekolah. Ada kes yang menyebabkan kecederaan serius, malah ada yang berakhir dengan kematian. Apabila tragedi berlaku di sekolah, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada sekolah, termasuk kekurangan kamera litar tertutup (CCTV), tahap pengawasan guru dan warden, keberkesanan sistem disiplin, serta pembahasan mengenai hukuman dan rotan.
Ya, semua perkara ini penting dan perlu ditambah baik. Namun, ada satu lagi dimensi yang kurang diberikan perhatian, iaitu keadaan komuniti yang membesarkan anak-anak tersebut sebelum dan selepas mereka berada di sekolah.
Golongan muda hari ini sebahagian besarnya terdiri daripada Generasi Z (Gen Z) dan Generasi Alpha (Gen Alpha). Gen Z secara umum merujuk kepada generasi yang lahir sekitar penghujung 1990-an hingga awal 2010-an, ketika internet, telefon pintar dan media sosial berkembang pesat.
Gen Alpha pula ialah generasi selepasnya yang sejak kecil membesar bersama skrin, media sosial, permainan dalam talian dan algoritma digital. Sempadan tahun antara generasi ini tidaklah mutlak, tetapi perubahan sosial yang berlaku cukup jelas. Mereka mungkin mempunyai jaringan digital yang sangat luas, tetapi pada masa yang sama semakin kurang ruang untuk berinteraksi secara bersemuka.
Seorang anak mungkin mempunyai ratusan kenalan dalam talian, tetapi belum tentu mengenali jiran yang tinggal tiga buah rumah darinya.
Dahulu Anak Membesar dalam Sebuah Komuniti
Dahulu, seorang anak membesar bukan sahaja dalam sebuah keluarga, tetapi juga dalam sebuah kampung atau komuniti. Komuniti tradisional tentunya bukan sempurna dan kenakalan tetap berlaku. Namun, seorang kanak-kanak biasanya berada dalam suatu jaringan sosial yang lebih luas.
Jiran mengenali ibu bapanya, orang dewasa mengenali anak-anak di kawasan tersebut, manakala surau, masjid, padang, kenduri, gotong-royong dan aktiviti kampung menjadi ruang pertemuan antara generasi.
Jika seorang anak melakukan sesuatu yang keterlaluan, ada mata yang melihat, ada mulut yang menegur dan ada kemungkinan perkara tersebut sampai kepada pengetahuan keluarganya. Pendidikan sosial tidak hanya berlaku melalui ibu bapa dan guru. Komuniti turut menjadi mata, telinga dan suara yang membantu membentuk tingkah laku anak-anak.
Hal ini menunjukkan komuniti yang berorganisasi mempunyai saluran komunikasi, aktiviti gotong-royong, program kebajikan, sukan, kenduri, rondaan keselamatan serta hubungan yang lebih tersusun dengan PBT dan pihak polis boleh menjadi penyelamat kepada anak-anak remaja.
Apabila berlaku kematian, kemalangan atau musibah, masyarakat bergerak membantu. Apabila timbul konflik, ada pihak yang boleh menjadi pengantara. Daripada hubungan sebegini lahir semangat kekitaan, rasa kepunyaan dan tanggungjawab terhadap orang lain.
Inilah antara benteng sosial yang semakin perlu diperkukuhkan.
Tetapi sekarang, sebahagian kawasan perumahan moden hari ini mungkin padat dengan rumah, tetapi semakin longgar hubungan sosialnya. Tanpa persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau kesatuan komuniti yang aktif, aspek keselamatan lebih banyak menjadi urusan keluarga masing-masing, kebersihan diserahkan kepada individu atau pihak berkuasa tempatan (PBT), konflik menjadi masalah antara dua keluarga dan aktiviti bersama semakin terhad.
Jiran kurang mengenali jiran, apatah lagi mengenali anak-anak dan remaja di kawasan tersebut. Kemudahan seperti padang, taman permainan dan dewan pula akhirnya hanya menjadi infrastruktur fizikal, bukannya ruang untuk membina hubungan kemasyarakatan.
Pembuli Tidak Tiba-tiba Menjadi Pembuli
Dalam konteks buli, seorang pembuli tidak tiba-tiba menjadi pembuli apabila melangkah masuk ke pagar sekolah. Begitu juga sifat tidak berempati, kecenderungan merendahkan orang lain, menganggap kekerasan sebagai hiburan atau keinginan untuk menunjukkan dominasi tidak terbentuk dalam satu malam.
Tingkah laku manusia berkembang daripada interaksi pelbagai faktor, termasuk keluarga, rakan sebaya, sekolah, pengalaman hidup, dunia digital dan komuniti.
Maka, penyelesaian terhadap isu buli tidak boleh dibebankan kepada sekolah semata-mata. CCTV membantu merakam kejadian, guru disiplin mengambil tindakan dan hukuman boleh menjadi salah satu langkah pencegahan. Namun, semua itu belum mencukupi untuk membentuk manusia.
Komuniti Perlu Diperkasa Semula
Sudah sampai masanya komuniti dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan generasi muda. Persatuan penduduk, KRT, masjid, surau, NGO, kelab sukan serta kumpulan belia perlu diperkasa supaya bukan sekadar aktif apabila berlaku masalah, tetapi menjadi institusi sosial yang hidup sepanjang tahun.
Melalu platform tersebut, kita dapat melakukan banyak aktiviti yang membawa anak-anak keluar daripada bilik, skrin dan dunia digital kepada kembali berinteraksi dengan manusia dan alam sebenar.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan seperti solat berjemaah, tadabbur alam, kem ibadah serta aktiviti yang membina kesedaran bahawa kehidupan mempunyai nilai, tujuan dan pertanggungjawaban.
Pendidikan moral akan lebih bermakna apabila anak bukan sekadar mengetahui bahawa membuli itu salah, tetapi mempunyai asas dalaman untuk memahami mengapa menzalimi, menghina dan menyakiti manusia lain itu salah.
Pada masa yang sama, komuniti boleh memperbanyakkan aktiviti sebenar seperti perkhemahan, memasak, ikhtiar hidup, mendaki, berkebun, memancing, orientering, pertolongan cemas dan khidmat masyarakat.
Aktiviti seperti ini memerlukan kerjasama, disiplin, kesabaran, kepimpinan serta kebergantungan antara satu sama lain. Anak yang biasa bekerjasama mendirikan khemah, menyediakan makanan untuk kumpulan atau membantu rakannya menyelesaikan tugasan memperoleh pengalaman sosial yang sangat berbeza daripada hanya berinteraksi melalui skrin.
Malah, komuniti boleh mula mewujudkan lebih banyak program no gadget, iaitu beberapa jam atau sehari tanpa telefon pintar dan permainan digital. Bukan kerana teknologi itu musuh, tetapi kerana generasi yang hidup dalam dunia digital juga perlu dilatih untuk berbual secara bersemuka, membaca emosi manusia, bertolak ansur, menyelesaikan perselisihan dan menikmati aktiviti tanpa memerlukan rangsangan skrin pada setiap masa.
Bagi meningkatkan tahap kepekaan anak-anak kepada masyarakat, sikap itu boleh dipupuk melalui aktiviti gotong-royong, ziarah orang sakit, membantu keluarga yang ditimpa musibah, membersihkan kawasan awam, program bersama warga emas dan aktiviti sukarelawan juga sebenarnya mempunyai fungsi pendidikan yang besar.
Di sinilah seorang anak belajar bahawa masyarakat mempunyai golongan yang lebih tua untuk dihormati, golongan yang memerlukan bantuan untuk dibantu, rakan yang perlu dijaga serta kepentingan bersama yang kadangkala perlu didahulukan daripada kehendak diri.
Komuniti yang Kuat Bukan Sekadar WhatsApp Group
Komuniti yang kuat bukan sekadar mempunyai WhatsApp group. Sebaliknya, komuniti yang anggotanya saling mengenali, anak-anak mempunyai ruang untuk membesar bersama, orang dewasa berani menegur dengan hikmah dan masyarakat mempunyai aktiviti bersama yang berterusan.
Sekolah tetap perlu diperkasa. CCTV perlu mencukupi di lokasi berisiko, aduan mesti diambil serius, guru dan warden perlu mempunyai sistem sokongan yang baik, manakala disiplin perlu dilaksanakan secara berkesan.
Namun, kamera hanya boleh merakam kejadian dan hukuman hanya mampu mengawal sebahagian tingkah laku. Pembentukan manusia memerlukan manusia lain.
Jika kita benar-benar mahu menangani buli dalam jangka panjang, usaha itu tidak boleh berhenti di pagar sekolah. Kita perlu membina kembali komuniti yang berfungsi, iaitu komuniti yang berorganisasi, berkomunikasi, beribadah, bekerj bersama, membantu sesama sendiri dan sesekali berani menutup telefon untuk kembali memandang manusia di hadapan mereka.
Sekolah mungkin menjadi tempat sesuatu kes buli berlaku, tetapi pembentukan seorang anak berlaku dalam seluruh ekosistem kehidupannya.
Memperbaiki sekolah adalah penting. Memperkasa keluarga dan menghidupkan kembali komuniti juga merupakan sebahagian daripada penyelesaiannya.
Mohammad Fikri bin Abd Rahim
Naib Yang Dipertua ISMA Alor Setar


