Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, mari kita ulang kaji tentang siapakah golongan yang boleh kita bersalaman dan yang tidak boleh dengannya.
Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Majoriti kita sudah memahami tentang batas pergaulan, aurat dan larangan bersalaman di antara ajnabi (yang berbeza jantina) atau bukan mahram iaitu golongan yang boleh kita nikahi. Hakikatnya ini sudah dijelaskan oleh para ulama, bahkan sudah termasuk di dalam perkara yang fardu ain.
Namun, tidak kurang ramainya daripada kalangan kita yang masih terkeliru, tentang siapakah yang tidak boleh kita bersalam atau berjabat tangan dengannya meskipun mereka adalah mahram, yakni daripada ahli keluarga kita. Maka, permasalahan inilah yang akan kita ulas dan perjelaskan.
Dalam isu ini perlu untuk kita ketahui beberapa poin dan nota penting iaitu :
1. Apakah itu mahram dan bukan mahram dan siapakah golongan tersebut?
2. Apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan?
Semoga penjelasan ini mampu menyelamatkan kita daripada kekeliruan dalam menjaga syariat Allah SWT terutamanya pada hari raya nanti.
Apakah itu mahram?
Secara ringkasnya mahram bermaksud individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
Seterusnya, bukan mahram bermaksud lelaki atau perempuan yang halal untuk dikahwini, dan tidak mempunyai hubungan mahram yang mengharamkan perkahwinan secara kekal.
Para ulama Fiqh menjelaskan bahawa mahram terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
1. Mahram mu’abbad: iaitu mereka yang haram dinikahi selama-lamanya, walau apa pun jua keadaan, dan disebutkan di dalam al-Quran, surah An-Nisa’, ayat 23 bahawa ianya terdapat 14 orang wanita.
2. Mahram mu’aqqat: iaitu mereka yang haram dinikahi sementara, bukan selama-lamanya.
Sebelum kita kemukakan kategori golongan manakah yang boleh untuk kita bersalam dengan mereka atau pun tidak, ayuh kita bahaskan apakah perkara yang boleh dan tidak boleh berlaku antara kita dan golongan yang berkenaan.
Implikasi Bagi Bukan Mahram
Implikasi penting antara kita dan bukan mahram adalah seperti, tidak boleh bersalaman dengannya, boleh berkahwin dengannya, tidak boleh berkhalwat dengannya.
Implikasi Bagi Mahram Mu’abbad
Manakala, implikasi bagi mereka yang haram kita nikahi selama-lamanya itu ada beberapa perkara iaitu, haram berkahwin dengannya, boleh bersalaman dengannya dan boleh bersendirian bersamanya.
Implikasi Bagi Mahram Mu’aqqat
Implikasi bagi perempuan yang haram dinikahi sementara itu ada beberapa perkara iaitu, haram berkahwin dengannya (iaitu kakak dan adik ipar perempuan) selagi mana belum menceraikan isterinya atau meninggal dunia. Haram bersalamanan dengannya dan tidak boleh bersendirian dengannya.
Batas aurat di antara seseorang itu dengan mahram dan bukan mahram
Selain itu, wajib seorang perempuan itu menutup keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki bukan mahram dan tidak diwajibkan hal tersebut di hadapan mahram.
Manakala bagi lelaki pula, auratnya dengan perempuan bukan mahram adalah antara pusat hingga lutut. Tidak boleh untuk seorang perempuan itu melihat kepada aurat orang lelaki antara dua kawasan tersebut serta tidak boleh juga melihat kepada selain aurat lelaki tanpa sebarang sebab berdasarkan nas yang menyuruh supaya menundukkan pandangan kepada orang perempuan dan demikian juga orang lelaki.
Dengan siapakah kita boleh bersalam dan tidak?
Berbalik kepada persoalan siapakah golongan yang boleh untuk kita bersalamanan dengannya dan siapakah yang tidak boleh, suka untuk kami pecahkan golongan tersebut kepada beberapa kategori berikut, iaitu:
1) Golongan mahram yang boleh seseorang perempuan itu bersalaman dengannya :
Boleh untuk seseorang perempuan itu bersalaman dengan golongan lelaki tersebut iaitu:
- Bapa kandung dan ke atas seperti datuk dan moyang.
- Anak lelaki dan ke bawah seperti cucu dan cicit.
- Adik beradik lelaki.
- Bapa saudara dari sebelah ibu dan ke atas seperti datuk saudara.
- Bapa saudara dari sebelah bapa dan ke atas seperti datuk saudara
- Anak-anak saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan dan ke bawah seperti cucu-cucu saudara lelaki.
- Bapa susuan.
- Adik beradik susuan yang lelaki.
- Bapa mertua.
- Menantu lelaki (suami kepada anak perempuan).
2) Golongan bukan mahram yang tidak boleh seseorang perempuan itu bersalaman dengannya.
Tidak boleh seseorang perempuan itu bersalaman dengan golongan lelaki tersebut iaitu :
- Suami kepada adik beradik bapa
- Suami kepada adik beradik emak
- Adik beradik lelaki bapa mertua
- Adik beradik lelaki emak mertua
- Anak lelaki adik beradik suami
- Abang ipar
3) Golongan Mahram yang Boleh Seseorang Lelaki Itu Bersalaman Dengannya
Mahram bagi seorang lelaki dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mahram dari sudut kerabat, musaharah, dan juga susuan. Maka seseorang lelaki itu boleh bersalaman dengan 3 jenis mahram tersebut.
Pertama: Mahram Dari Sudut Kerabat
a) Ibu kandung.
b) Nenek (ibu kepada ibu).
c) Nenek (ibu kepada bapa).
d) Anak perempuan.
e) Cucu perempuan (dari anak lelaki).
f) Cucu perempuan (dari anak perempuan).
g) Adik beradik perempuan seibu sebapa.
h) Adik beradik perempuan seibu.
i) Adik beradik perempuan sebapa.
j) Anak perempuan kepada adik beradik lelaki kandung (seibu sebapa).
k) Anak perempuan kepada adik beradik lelaki dari sebelah ayah atau ibu.
Iaitu anak-anak saudara perempuan atau anak perempuan kepada adik beradik lelaki atau perempuan kita.
Kedua: Mahram dari sudut Musaharah (perkahwinan)
a) Isteri kepada bapa (ibu tiri). Begitu juga isteri kepada datuk dari sebelah bapa atau ibu.
b) Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan). Begitu juga isteri kepada cucu lelaki dan ke bawah.
c) Ibu kepada isteri (ibu mertua).
d) Anak perempuan kepada isteri (anak tiri bagi isteri yang telah disetubuhi).
Ketiga: Mahram Disebabkan Susuan
a) Ibu susuan.
b) Adik beradik perempuan susuan.
c) Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sesusuan.
d) Anak perempuan kepada adik beradik perempuan sesusuan.
e) Anak susuan perempuan.
f) Adik beradik susuan perempuan kepada ibu atau ayah. Iaitu ibu-ibu saudara susuan.
4) Golongan bukan mahram yang tidak boleh seseorang lelaki Itu bersalaman dengannya
Tidak boleh untuk seseorang lelaki itu bersalaman dengan golongan wanita tersebut iaitu:
a) Isteri kepada bapa saudara.
b) Sepupu perempuan.
c) Kakak ipar (isteri kepada abang kandung).
d) Adik ipar (perempuan).
e) Anak angkat perempuan yang bukan anak susuan.
Kesimpulan
Hari Raya Aidilfitri merupakan manifestasi kepulangan kita kepada fitrah. Justeru, kita tidak mahu ia dicemari dengan ketergelinciran ke dalam dosa, seperti tidak menjaga batas pergaulan antara mahram dan bukan mahram.
Kami ingin menegaskan bahawa keharmonian dan kasih sayang antara kita dan sanak saudara tidak akan terjejas walaupun tidak bersalaman dengan golongan tertentu. Bahkan, ia lebih mendatangkan sakinah, mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT. Hal ini kerana kita masih boleh bertanya khabar, melemparkan senyuman, saling membantu, dan pelbagai lagi cara untuk menyemai kasih sayang dalam lembaran Aidilfitri ini.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama menerusi pencerahan ini. Ameen.
Rujukan
1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri Ke-331: Maksud Mahram Sementara.
2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri Ke-305: Hukum Bersalaman Dengan Sanak Saudara di Hari Raya.
3. Muhammad al-Zuhaili, Al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (Fiqh Mazhab al-Syafi‘i yang Mu‘tamad), Kitab al-Nikah.4. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dengan Siapa Saya Tidak Boleh Bersalam?
Ustaz Fitri Adnan
Ketua Biro Dakwah ISMA Bangi


