1. Pada bulan September 2010 saya telah diminta oleh seorang pimpinan ISMA untuk mempengerusikan satu slot perbincangan dalam Muzakarah YDP/JKP. Bersamanya diberikan satu salinan kertas kerja bertajuk ‘Middle Malaysia/ Malaysia Sederhana ‘ oleh Lim Guang Eng yang dibentangkan dalam Konvensyen Kebangsaan DAP 2010
2. Kertas kerja tersebut dibincangkan oleh peserta muzakarah sebagai maklumat tambahan untuk membentuk agenda ISMA.
3. Pada permulaan muzakarah, Presiden (ketika itu Ustaz Abdullah Zaik) telah menekankan perlunya perjuangan yang mempunyai agenda sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Agenda ‘ketuanan Melayu’ telah dicadangkan oleh Presiden dan sudah pasti agenda tersebut mendapat tentangan dari sebahagian pimpinan terutama pimpinan dari Pantai Timur yang tidak selesa dengan agenda tersebut atas alasan dikhuatiri terjerumus dengan perjuangan Asobiyah.
4. Pelbagai hujah telah dikemukakan seperti bangsa Melayu sebagai bangsa tunggak di negara ini sepertimana Ibnu Khaldun mentafsirkan hadis ‘pemimpin (imam) mestilah dalam kalangan Quraisy’. Asobiyah adalah sumber kekuatan politik. Kehebatan Empayar Kerajaan Melayu Islam di Melaka 500 tahun terdahulu juga dijadikan salah satu hujah.
5. Muzakarah yang dijadualkan sehari telah berlarut sehingga dua hari bagi memastikan peserta muzakarah berpuas hati dengan keputusan yang akan diambil. Akhirnya Agenda yang cadangan awalnya ‘Ketuanan Melayu ‘ telah dimurnikan bahasanya menjadi ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat ‘ telah dipersetujui sebulat suara sebagai salah satu langkah strategi untuk mendaulatkan Islam di negara ini.
6. Konvensyen Melayu Sepakat Islam Berdaulat Di UTeM pada Januari 2011 yang dihadiri hampir 4000 peserta menjadi pembakar untuk menyemarakkan agenda ini ke dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.
7. Sejak slogan itu dilancarkan ISMA telah menerima pelbagai kritikan pedas terutamanya dari parti politik dan NGO yang menganggap ISMA telah menyeleweng dari perjuangan Islam.
8. Alhamdulillah perjuangan ini telah mula diterima terutamanya sejak peristiwa 9 Mei 2018.
9. Matlamat agenda tersebut adalah untuk kesepakatan mendaulatkan bangsa dan Islam bukannya kesepakatan untuk berebut kuasa melalui peti undi semata mata.
10. Saya percaya ISMA sedang merangka agenda yang lebih besar untuk meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di negara ini.