Festival Muzikal Air Bukan Identiti Malaysia

Pemuda ISMA memandang serius penganjuran Festival Muzikal Air di Bukit Bintang bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Tegas kami nyatakan, bantahan ini bukan kerana kami anti hiburan, anti pelancongan atau takut kepada keterbukaan dunia. Tetapi kerana kami masih percaya bahawa sebuah negara yang bermaruah tidak membina imejnya dengan menggadaikan adab dan identiti sendiri.

Malah, Festival Muzikal Air di ruang awam yang sesak seperti Bukit Bintang membuka ruang kepada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak sopan. Tubuh badan yang basah lencun, pakaian melekap di badan serta ribuan manusia yang sukar dikawal bukan lagi isu kecil atau remeh. Ini soal batas asas dalam kehidupan bermasyarakat. Jangan berpura-pura bahawa semua ini boleh dikawal dengan garis panduan di atas kertas. Hakikatnya, apabila adab diketepikan atas nama keseronokan, yang rosak bukan sekadar imej bandar, tetapi nilai yang cuba dipertahankan oleh masyarakat.

Lebih membimbangkan, festival ini tidak membawa apa-apa nilai atau naratif budaya tempatan yang bermakna. Bahkan, hanya meniru budaya luar yang diimport bulat-bulat tanpa tapisan, seolah-olah Malaysia ketandusan warisan sendiri. Sedangkan negara ini kaya dengan seni, budaya dan tradisi yang berakar dalam adab, kesopanan dan nilai kekeluargaan. Namun, semua itu diketepikan kerana pesta air dianggap lebih trendy dan mudah dijual kepada pelancong. Persoalannya, sejak bila kita perlu meniru budaya orang lain untuk kelihatan relevan di mata dunia?

Dari sudut yang lain, penganjuran ini mencerminkan arah pemikiran dalam membangunkan negara, khususnya dalam membentuk generasi muda. Apabila acara seperti ini dinormalisasikan, mesej yang sampai kepada anak muda ialah keseronokan mengatasi batas, hiburan mengatasi adab, dan teguran dianggap penghalang kemajuan. Dalam jangka panjang, masyarakat akan terbiasa melihat pelanggaran nilai sebagai perkara biasa, asalkan ia dibungkus dengan slogan ekonomi dan pelancongan.

Dalam kerangka pembinaan ummah, pemuda bukan sekadar pengikut arus, tetapi penjaga nilai dan suara nurani masyarakat. Pemuda ISMA menolak idea bahawa kemajuan hanya boleh dicapai dengan meniru budaya luar yang bercanggah dengan jati diri tempatan. Pelancongan yang berkualiti ialah pelancongan yang membina, mendidik dan mempamerkan siapa kita sebenarnya, bukan pelancongan yang mengorbankan maruah demi sensasi sementara dan pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Kami tidak menolak pembangunan demi ekonomi dan tidak menutup pintu kepada dunia. Namun kami menolak pembangunan yang tidak berprinsip dan hiburan yang menghakis adab masyarakat. Malaysia tidak perlu festival air untuk dikenali. Malaysia perlu keberanian untuk mempertahankan identiti, nilai dan maruahnya sendiri. Dan sebagai pemuda, kami memilih untuk bersuara, walaupun suara itu mungkin tidak menyenangkan pihak yang selesa dengan normalisasi hilang adab.

Muhammad Firdaus bin Mohd Sani
Ketua Setiausaha Pemuda ISMA

Scroll to Top