Hijrah menuju pembinaan Ummah Fadhilah

Sesungguhnya antara kejayaan terbesar hijrah Rasulullah SAW ialah pembinaan masyarakat Madinah yang teguh ikatan persaudaraannya. Kaum Muhajirin dan Ansar yang datang daripada latar belakang berbeza telah disatukan sehingga mereka mampu membina sebuah tamadun yang menjadi contoh kepada dunia. Inilah gambaran awal kepada Ummah Fadilah iaitu masyarakat yang bukan sekadar mempunyai individu yang baik, tetapi masyarakat yang saling menguatkan, mengambil berat dan bersama-sama menegakkan kebaikan.

Allah SWT telah memberikan panduan yang jelas dalam membina kesatuan ini melalui firman-Nya yang bermaksud : 

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan hati kamu sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara…”

(Surah Ali ‘Imran 3 : 103)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa perpaduan bukan sesuatu yang berlaku secara semula jadi, tetapi nikmat Allah SWT yang perlu dicari, dipelihara dan diperjuangkan. Apabila hati-hati manusia disatukan kerana Allah SWT, maka lahirlah kekuatan yang mampu mengubah masyarakat.

Namun, apabila melihat keadaan umat Islam hari ini, kita perlu berani bermuhasabah. Slogan perpaduan sering dilaungkan, tetapi pada masa yang sama, ikatan sesama Muslim semakin rapuh. Perbezaan pandangan dan pendekatan sering bertukar menjadi persengketaan. Kepentingan kelompok, kepuakan dan semangat partisan kadangkala dibawa sehingga memasuki ruang-ruang yang sepatutnya menjadi medan penyatuan Ummah.

Surau dan masjid yang sepatutnya menjadi pusat tarbiah, dakwah dan pembinaan masyarakat kadangkala dicemari dengan perebutan pengaruh, perbezaan pendapat yang tidak diurus dengan hikmah dan perselisihan yang berpanjangan. Sedangkan masjid pada zaman Rasulullah SAW adalah tempat umat dibina, masalah masyarakat diselesaikan dan jiwa manusia dipautkan kepada Allah.

Kelemahan hubungan dalam keluarga dan komuniti akhirnya memberi kesan kepada generasi muda. Apabila masyarakat hilang sifat saling mengambil berat dan budaya menegur dengan kasih sayang semakin pudar, maka anak-anak muda akan mencari tempat bergantung yang lain. Sebahagian mereka akhirnya terjebak dalam penyalahgunaan dadah, keruntuhan akhlak dan budaya yang merosakkan.

Atas sebab itu, Hijrah 1448H menuntut kita melakukan satu bentuk hijrah yang lebih mendalam iaitu hijrah daripada pemerhati kepada pembina masyarakat. Gerakan dakwah tidak boleh terbatas kepada ceramah dan program semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui usaha membina hubungan, menyantuni jiran, menghidupkan surau, memperkukuh institusi keluarga dan menyelesaikan masalah masyarakat.

Masyarakat yang kita impikan bukan sekadar komuniti yang tinggal berdekatan, tetapi sebuah Ummah Fadilah iaitu masyarakat yang mempunyai rasa cinta kepada Allah SWT, saling mengenal, saling mempercayai, saling membantu dan bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebajikan serta masa depan generasi.

Janganlah kita memandang kecil sisa perpaduan yang masih ada pada hari ini. Walaupun mungkin semakin menipis, namun masih boleh menjadi benih kepada kebangkitan semula Ummah. Benih itu perlu disiram dengan dakwah, tarbiah, ukhuwah dan kerja-kerja kemasyarakatan yang berterusan.

Perubahan besar tidak semestinya bermula di pentas nasional. Hijrah Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa pembinaan tamadun bermula dengan pembinaan manusia dan komuniti. Maka mulakanlah dari ruang yang paling hampir dengan kita iaitu keluarga kita, jiran kita, taman perumahan kita dan surau kita.

Maal Hijrah 1448H adalah seruan untuk kita berhijrah daripada budaya menyalahkan kepada budaya menyelesaikan, daripada sikap berpecah kepada semangat persaudaraan, dan daripada sekadar mengeluh tentang keadaan ummah kepada bangkit menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.

Marilah kita mencari kembali rasa kasih dan tanggungjawab sesama Muslim, memelihara sisa perpaduan yang masih ada, lalu menanamnya menjadi pohon besar Ummah Fadilah yang memberikan teduhan kepada generasi hari ini dan akan datang.

Scroll to Top