BANGI, 24 Jun -Semenjak kerajaan melonggarkan sekatan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ramai ibu ayah yang sudah mula keluar bekerja.
Bagi yang mempunyai anak kecil, taska adalah pilihan bagi mereka untuk menempatkan anak-anak.
Tetapi timbul persoalan tentang bagaimana dengan anak-anak yang berada di peringkat sekolah rendah dan menengah, apabila kerajaan masih lagi ‘menutup’ pintu kecuali kepada pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Sekolah (SPM).
Dr. Hisham Sharif, bapa kepada lima orang anak berharap agar sekolah dapat dibuka secepat mungkin secara beransur-ansur bagi mengelakkan daripada anak-anak berpeleseran di merata tempat.
“Kita berharap, agar sekolah perlahan-lahan akan dibuka, jika tidak, anak-anak akan memilih untuk meneroka alam maya atau berpeleseran merata-rata, baik di kompleks beli belah atau di mana sahaja,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM)
Ujarnya lagi dalam keadaan ibu bapa yang keduanya keluar bekerja adalah sangat mencabar untuk meninggalkan anak-anak sendirian di rumah.
Tambahan lagi melibatkan keselamatan di rumah dan penggunaan sosial media serta telefon pintar.
“Sekolah bukan hanya tempat penilaian peperiksaan, tapi sekolah adalah satu institusi yang menyediakan persekitaran yang selamat dan program pembelajaran yang tersusun, disamping diawasi oleh guru-guru,” katanya.
Pada masa yang sama, ujarnya pembelajaran atas talian nyata tidak mampu untuk menyamai apa yang mampu disediakan oleh persekolahan secara fizikal.
“Peperiksaan bukan segalanya, tapi sekolah adalah adalah satu keperluan hidup yang besar dalam tumbesaran anak-anak,” tambahnya lagi.