Isu pengiktirafan UEC perlu dilihat dengan jujur dan berprinsip, bukan dengan logik terpilih atau tekanan politik jangka pendek.
Mengiktiraf UEC hakikatnya ialah mengiktiraf bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah sistem pendidikan kelas kedua. Jika benar tidak puas hati terhadap kualiti sistem kebangsaan, mengapa tidak diperbaiki sistem negara itu sendiri? Mengapa negara memilih untuk mengiktiraf sistem lain, lalu secara tidak langsung melemahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pendidikan kebangsaan untuk berdiri setara dan bermaruah?
Dalam hal ini, tidak timbul isu UEC perlu diiktiraf setara dengan aliran kebangsaan apabila diwajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut sukatan pendidikan kebangsaan. Hal ini, kerana ia dalah keperluan untuk mengikat jati diri pelajar dengan tanahair Malaysia, sama seperti yang diwajibkan ke atas aliran lain termasuk sekolah antarabangsa. Bahasa Melayu dan sejarah ialah asas pembentukan kesetiaan dan perpaduan nasional. Ini perkara asas yang tidak perlu apa-apa imbalan pun.
Kita perlu bertegas, setakat mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tidak boleh dijadikan lesen bagi mana-mana aliran bukan kebangsaan sama ada UEC atau pun aliran lain untuk menuntut keistimewaan memasuki IPTA.
IPTA dibangunkan dengan dana awam dan mandat nasional; keutamaannya mesti kekal kepada aliran kebangsaan. Jika semua aliran diberi laluan dan keistimewaan yang sama, maka runtuhlah logik sistem arus perdana yang menjadi tunjang perpaduan negara.
Di sinilah Kementerian Pendidikan Malaysia mesti bertegas. Jika hari ini UEC diiktiraf atas alasan tertentu, apakah jaminannya esok aliran lain tidak menuntut pengiktirafan sama? Keputusan mesti dibuat demi perpaduan nasional, bukan demi undi politik atau survival kuasa. Negara yang serius membina masa depan tidak boleh terus berkompromi dengan asasnya sendiri.
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA


