Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi bertarikh 14 Mei 2026 berkaitan laluan kemasukan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
ISMA menegaskan bahawa isu UEC menyentuh dasar pendidikan negara, identiti kebangsaan, perpaduan rakyat, dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
ISMA melihat wujud percanggahan dalam pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri. Sebelum ini, KPT menegaskan bahawa isu pengiktirafan UEC perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan kedudukan Bahasa Melayu. KPT juga menyatakan bahawa isu ini tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.
Namun, kenyataan terbaharu ini membuka laluan rasmi kepada lepasan UEC memasuki IPTA bagi program tertentu. Walaupun tidak menggunakan istilah “pengiktirafan penuh”, langkah ini dilihat sebagai pengiktirafan secara berperingkat terhadap UEC serta mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan.
ISMA turut berpandangan bahawa pendekatan meritokrasi dan akses inklusif yang disebut oleh KPT tidak boleh dilihat daripada sudut akademik semata-mata. Pendidikan mempunyai peranan besar dalam membina perpaduan rakyat, identiti nasional, dan juga kesedaran kenegaraan.
Dari sudut kenegaraan dan pendidikan kebangsaan, kenyataan KPT ini sangat membimbangkan kerana, memberi isyarat bahawa negara semakin longgar dalam mempertahankan asas pembinaan negara bangsa Malaysia.
Pendidikan ialah benteng utama sesebuah negara. Melalui pendidikan, negara membentuk identiti rakyat, bahasa bersama, kefahaman sejarah, semangat patriotisme, dan kesetiaan kepada negara. Apabila asas ini semakin dilonggarkan, negara sedang membuka ruang kepada perpecahan identiti dalam generasi akan datang.
Antara kebimbangan utama ISMA ialah:
Kedudukan dan martabat Bahasa Melayu semakin lemah;
Polarisasi antara kaum semakin melebar;
Dualisme dalam sistem pendidikan negara semakin diperkukuh;
Agenda pembinaan negara bangsa berdasarkan naratif sejarah yang sama semakin terancam.
Keputusan seperti ini mungkin memberi keuntungan politik jangka pendek kepada pihak tertentu, namun kesannya terhadap masa depan negara sangat besar. Apabila negara gagal mempertahankan satu sistem pendidikan nasional yang kuat, negara sedang mempertaruhkan masa depan anak bangsa sendiri. Dalam tempoh beberapa dekad akan datang, Malaysia berdepan dengan risiko, masyarakat yang semakin terpisah dari sudut identiti, bahasa, dan kefahaman kenegaraan. Sejarah dunia menunjukkan bahawa negara yang lemah identiti nasional akhirnya akan menghadapi konflik sosial, ketegangan antara kaum dan krisis kesetiaan terhadap negara.
ISMA menyeru kerajaan untuk mengkaji semula keputusan ini serta terus memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas perpaduan dan identiti negara.
“Ummah Fadhilah Tonggak Peradaban”
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
15 Mei 2026


