BATU PAHAT, 20 November – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Batu Pahat dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Negeri Johor, dan Ikatan Guru Muslim Malaysia (I-Guru) Negeri Johor, telah menganjurkan program latihan kepada bakal tenaga pengajar bagi Modul Repro Alert! I-Medik Sabtu lalu.
Program ini telah disertai oleh kira-kira 30 orang peserta daripada pelbagai latar belakang kerjaya, termasuk pengamal perubatan, pensyarah, guru dan golongan profesional yang lain.
Antara topik yang disampaikan sepanjang program ini termasuk Pengenalan Modul Repro Alert!, kesihatan psikoseksual, perkembangan jantina dan kecelaruan gender, ancaman gajet dan buli siber, pengurusan nafsu, pornografi serta panduan melaporkan salah laku.
Pada penghujung program, para peserta turut menjalani sesi latihan secara berkumpulan berdasarkan modul-modul yang telah dipelajari. Aktiviti ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal serta meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam menyampaikan kandungan modul dengan lebih berkesan.
ISMA Batu Pahat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada I-Medik Negeri Johor dan I-Guru Negeri Johor atas kerjasama serta komitmen sebagai penganjur bersama dalam menjayakan program ini.
Diharapkan agar latihan ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga pengajar yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyampaikan pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif secara komprehensif, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat serta membantu menangani cabaran yang dihadapi oleh golongan remaja pada masa kini.
ISMA Batu Pahat sentiasa mengalu-alukan pelbagai bentuk kerjasama bersama masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membina komuniti yang aktif, berilmu dan sentiasa berpaksikan nilai-nilai Islam.


