NILAI, 18 November – Seramai 20 orang remaja sekitar Nilai telah menyertai program santai bertajuk Remaja Punya Cerita: Hak Bercinta, Hak Remaja yang berlangsung di Masjid Pekan Nilai pada Sabtu, 14 November lalu.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu merupakan anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Nilai, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Negeri Sembilan, Pusat Komuniti Anjung Hikmah serta pihak pengurusan Masjid Pekan Nilai.
Penganjuran program ini bertujuan menyediakan ruang perbincangan yang selamat, terbuka dan tidak menghukum bagi meningkatkan kesedaran golongan remaja mengenai hakikat sebenar perasaan cinta.
Pengisian program menekankan bahawa cinta bukan sekadar mengikut hawa nafsu, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus emosi, menjaga batas pergaulan serta kesabaran menunggu masa dan fasa yang sesuai sebelum melangkah ke alam hubungan yang sah.
Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh panel jemputan, Dr. Fatimah Zaharah binti Rosli, Pakar Perubatan Dalaman di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
Beliau mengupas beberapa topik penting, antaranya perbezaan antara perasaan suka dengan cinta yang sihat, kesedaran mengenai kesihatan reproduktif serta risiko kehamilan dalam kalangan remaja.
Bagi menggalakkan penglibatan aktif peserta, program turut diserikan dengan sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan aktiviti perdebatan.
Melalui aktiviti interaktif tersebut, para remaja berpeluang mengasah pemikiran kritis serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan batas pergaulan secara terbuka tanpa berasa kekok atau bimbang dilabel sebagai ‘skema’.
Pada masa yang sama, perkarangan Masjid Pekan Nilai turut dimeriahkan dengan penganjuran kursus pengurusan jenazah yang dikhususkan kepada golongan dewasa.
Penganjuran kedua-dua program secara serentak ini menyerlahkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang mesra pelbagai peringkat umur, daripada golongan remaja yang mendalami ilmu pengurusan diri hingga kepada generasi dewasa yang memantapkan pengetahuan berkaitan tuntutan fardu kifayah.


