Isma Sambut Baik Larangan Jualan Arak di Kedai Runcit

Alhamdulillah, pengumuman DBKL untuk menghentikan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka dan kedai runcit di seluruh Kuala Lumpur bermula Oktober 2021 ini adalah satu perkara yang sangat dialu-alukan dan bagus untuk masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Untuk pengetahuan anda, kami NGO-NGO Islam dalam gabungan PEMBELA pernah bertemu sendiri dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan menyampaikan hasrat rakyat agar penjualan arak secara terbuka seperti di kedai-kedai runcit dan serbaneka dihentikan demi kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan orang awam. Syukur, hasrat rakyat ini menjadi kenyataan.

Kami gembira dan lega pihak DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak tunduk dengan desakan persatuan peniaga-peniaga arak beberapa bulan yang lalu yang membantah tindakan DBKL menggantung pemberian lesen baharu untuk menjual arak.

Kita pernah menegur ahli-ahli politik Muslim di pihak kerajaan sendiri yang cuba menormalisasikan naratif meminum arak adalah hak bukan Islam, maka mustahil untuk diharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit atau serbaneka. Saya bersyukur bahawa kementerian wilayah tidak berfikir sedemikian tetapi sebaliknya mengambil tindakan yang lebih tegas sebegini.

Walaubagaimanapun, kita pasti akan berlaku bantahan yang dahsyat dari pelbagai pihak dengan pelbagai sentimen dan tohmahan, termasuk naratif Islamofobia. Menunggu sehingga Oktober 2021 adalah masa yang lama untuk mereka melobi dan membantah maka kita harap kerajaan tidak membuat ‘U-Turn’ kerana kami NGO-NGO Islam teguh menyokong usaha ini.

Malah, ketika itu mungkin sudah selesai pilihanraya umum dan kerajaan baharu akan terbentuk. Kita juga harap kerajaan ketika itu tidak akan menarik balik polisi yang baik ini.

Satu lagi cabarannya ialah penguatkuasaannya nanti. Kita harap agar pihak berkuasa benar-benar menguatkuasakannya, bukan hanya cantik pada polisi sahaja tetapi banyak kepincangan terutamanya apabila berlaku sogokan dan sebagainya. Mungkin ini tanggungjawab kita bersama yang berada di lapangan untuk menjadi pemberi dan mendedahkan maklumat. InsyaAllah.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
19 November 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat