SANDAKAN, 26 Ogos – Membina sebuah keluarga yang harmoni bukan sekadar menyediakan keperluan anak-anak, tetapi tentang bagaimana ibu bapa hadir, memahami dan menjadi contoh dalam setiap fasa kehidupan mereka. Atas kesedaran tersebut, Seminar Keluarga Hebat: Bina Keluarga Harmoni, Didik Generasi Rabbani telah diadakan di ADTEC JTM Kampus Sandakan baru-baru ini.
Seminar yang menghimpunkan para ibu bapa dan peserta daripada pelbagai latar belakang ini menjadi ruang untuk menelusuri semula peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga yang lebih kukuh, tenang dan berlandaskan nilai Islam.
Menyentuh realiti kehidupan berkeluarga hari ini, YDP ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit dalam ucapan alu-aluannya mengingatkan bahawa mendidik anak bukan tugas yang boleh diserahkan kepada sekolah semata-mata, tetapi ibu bapa sebagai guru utama.
“Rumah adalah tempat pertama anak belajar tentang akhlak, kasih sayang dan nilai kehidupan, menjadikan ibu bapa sebagai guru dan contoh terawal mereka,” katanya.
Perkongsian Dr. Hj Mohd Azizan Bin Abdul Aziz memberi fokus kepada peranan ayah sebagai role model dalam pendidikan anak serta kepentingan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan berdasarkan Surah al-Ahzab, ayat 21.
Seterusnya, Dr. Nor Azyati Yusoff membawa peserta memahami perkembangan anak, termasuk masalah perkembangan dan pengenalan autisme. Konsep 4S – ‘Safe, Secured, Soothe dan Seen’ turut dikongsikan sebagai asas dalam membantu anak berasa selamat, mempunyai hubungan yang kukuh, tenang serta dilihat dan difahami.
Beliau turut berkongsi aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak, termasuk menggantikan sebahagian masa penggunaan telefon dengan aktiviti seperti membaca buku dan interaksi bersama.
Sementara itu, Dr. Nur Najwa Hanim Binti Ab Latiff memberi fokus kepada pengurusan emosi keluarga. Peserta diajak memahami bahawa tindakan seseorang sering dipengaruhi oleh emosi dan perkara yang masih belum diselesaikan dalam diri. Pengurusan emosi yang baik penting bagi membina komunikasi dan hubungan keluarga yang lebih sihat.
Ketiga-tiga perkongsian membawa mesej bahawa anak memerlukan ibu bapa yang terus belajar, memahami dan berusaha menjadi lebih baik. Pembinaan keluarga yang harmoni memerlukan ilmu, teladan, kesabaran dan kasih sayang yang berterusan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak ADTEC Sandakan atas kerjasama serta kesudian menyediakan tempat bagi menjayakan Seminar Keluarga Hebat ini. Penghargaan turut ditujukan kepada YB Alias Haji Sani atas kesudian meluangkan masa untuk hadir dan memberikan sokongan kepada program yang dianjurkan
Semoga Seminar Keluarga Hebat menjadi pemangkin kepada ibu bapa untuk terus memperkukuh hubungan bersama anak-anak serta membina keluarga yang harmoni dan berlandaskan nilai Islam.


