Israk Mikraj: Persiapan Kuasa dan Pembinaan Negara Ummah

Peristiwa Isra’ dan Mikraj sering difahami sebagai kisah penghiburan buat Rasulullah SAW setelah melalui fasa paling getir dalam perjuangan dakwah di Makkah. 

Benar, ini adalah satu bentuk tasliyah Ilahiyyah; penguatan jiwa seorang Nabi yang sedang dihimpit tekanan, penolakan, dan kehilangan. Namun, memahami Israk Mikraj sekadar sebagai penghiburan adalah satu pembacaan yang terlalu sempit. Hakikatnya, Israk Mikraj merupakan titik persiapan strategik kepada pembinaan negara Islam di Madinah dan pembangunan kuasa umat Islam.

Israk Mikraj juga datang sebagai isyarat bahawa fasa kesabaran akan beralih kepada fasa kekuasaan, iaitu dakwah ini tidak ditakdirkan untuk selamanya berada di bawah penindasan, dan Islam akan memerintah, bukan sekadar bertahan. Ini adalah detik Allah SWT sedang mempersiapkan seorang pemimpin, sebuah ummah, dan sebuah masa depan.

Sebelum Nabi SAW diangkat menembusi langit, Baginda disucikan jiwanya. Dada dibelah, hati dibersihkan, dan beban dunia disingkirkan. Di sinilah kita belajar bahawa kepimpinan Islam bukan bermula dengan slogan, bukan dengan kekuatan organisasi, dan bukan dengan kebolehan berpidato. Tetapi, bermula dengan jiwa. Allah SWT sedang mendidik umat ini bahawa kuasa tidak akan diberikan kepada hati yang masih terikat dengan dunia, takut kehilangan kedudukan, atau tunduk kepada hawa nafsu. Jika seorang Nabi yang maksum masih melalui proses penyucian sebelum menerima amanah besar, maka generasi hari ini tidak boleh bermimpi tentang kebangkitan tanpa tazkiyah dan tarbiah diri yang serius. 

Kemudian, dalam perjalanan Mikraj, Rasulullah SAW ditawarkan arak dan susu. Baginda memilih susu, dan pilihan itu disahkan sebagai pilihan fitrah. Bagi saya, ini adalah mesej yang sangat jelas tentang asas pembinaan peradaban. 

Islam tidak datang untuk membina negara di atas kerosakan fitrah manusia. Malah, tidak menghalalkan budaya yang memabukkan akal, merosakkan jiwa, dan mematikan tanggungjawab. Bahkan, negara Islam tidak lahir daripada liberalisasi nafsu, tetapi daripada kejernihan iman. Apabila fitrah dipelihara, manusia mampu berdiri sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi dengan seimbang. Inilah asas negara yang dikehendaki oleh wahyu, bukan negara yang tunduk kepada kehendak pasaran atau tekanan ideologi asing.

Seterusnya, perjalanan Israk yang singgah di Baitul Maqdis sebelum naik ke langit sentiasa menggugah hati saya, kerana peristiwa ini adalah sebuah mesej yang besar. Rasulullah SAW tidak terus dimuliakan dengan Mikraj tanpa terlebih dahulu menjejakkan kaki di bumi para anbiya. Di sanalah Baginda mengimamkan solat, seolah-olah seluruh sejarah kenabian diserahkan kepadanya. Ini adalah pengisytiharan bahawa umat Islam adalah pewaris sah risalah tauhid, serta perjuangan ini bersifat global, melangkaui bangsa dan sempadan. Tambahan pula, Baitul Maqdis bukan sekadar lokasi sejarah, tetapi penunjuk arah perjuangan, mirip seperti kisah Nabi Musa as kepada kaumnya Bani Israel agar mereka masuk menuju bumi yang dijanjikan buat mereka ini.

Di samping itu, Nabi SAW tidak sempat melihat pembukaan Baitul Maqdis pada zaman Umar al-Khattab seperti mana Nabi Musa as tidak sempat memasuki Baitul Maqdis bersama kaumnya yang dipimpin oleh Yusha’ Bin Nun. Pasukan tentera yang yang terakhir di hantar oleh baginda adalah Jaishul ‘Usrah yang menentang rom dan menghala ke Baitul Maqdis. Nabi Musa as pula minta agar Allah SWT  mewafatkannya berdekatan dengan Baitul Maqdis, seakan-akan isyarat buat umatnya akan hala tuju perjuangan. Allah memakbulkan dan diwafatkannya di Kathibul Ahmar, bukit berbatu merah di Palestin ( 20 Km dari Ariha atau Jericho ). Hari ini perjuangan belum selesai. Selagi bumi itu dijajah, selagi itulah kita harus sedar bahawa misi besar ini belum selesai. 

Pensyariatan solat di Sidratul Muntaha pula mengajar kita bahawa kekuatan ummah tidak pernah terpisah daripada hubungannya dengan Allah. Solat bukan ritual peribadi yang terasing daripada realiti sosial dan politik, tetapi sebagai latihan disiplin, kepatuhan, dan kesatuan saf. Ummah yang longgar solatnya adalah ummah yang rapuh jiwanya. Serta, ummah yang rapuh jiwanya tidak akan mampu memikul amanah kuasa. Dari solat inilah lahir generasi Madani iaitu manusia yang tunduk kepada perintah Allah, berdisiplin dalam kehidupan, dan bersedia membina negara kuat dan berdaulat.

Selepas Israk Mikraj, sejarah membuktikan perubahan arah perjuangan. Bai‘ah Aqabah berlaku, hijrah dirancang, dan negara Madinah ditegakkan. Ini adalah persiapan rohani dan strategik sebelum Islam tampil sebagai kuasa yang memimpin masyarakat dan bukan sekadar berdakwah di pinggir.

Melihat realiti hari ini, kita akui bahawa orde Islam masih belum tegak. Dunia Islam berpecah, maruah dipijak, dan wahyu sering diketepikan. Namun Israk Mikraj mengajar kita untuk tidak berputus asa. Perjalanan Nabi SAW sendiri membuktikan bahawa kemenangan tidak datang secara tergesa-gesa. Tetapi, datang setelah syarat-syaratnya dipenuhi. Kebangkitan ummah adalah janji Allah SWT, dan perjalanan ini akhirnya akan menuju kepada khilafah akhir zaman sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Tetapi khilafah itu tidak akan lahir daripada emosi, nostalgia, atau retorik kosong. Tetapi, lahir daripada jiwa yang disucikan, iman yang hidup, persiapan kepimpinan dan generasi yang sanggup memikul amanah dengan penuh kesedaran dan strategik.

Bagi saya, Israk Mikraj bukan kisah untuk dikenang setahun sekali. Tetapi, cermin untuk kita menilai sejauh mana kita layak mewarisi kemenangan. 

Sebelum umat ini memerintah dunia, mereka mesti terlebih dahulu diperintah oleh wahyu. Sebelum negara dibina, manusia mesti dibentuk. Dan sebelum kemenangan dituntut, harga kemenangan itu mesti sanggup dibayar. Perjalanan malam itu belum berakhir. Ia sedang menunggu ummah yang benar-benar bersedia. Salam Israk Mikraj, Salam menuju pembebasan.

Ibrahim Allam Said
Timbalan Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Kuala Lumpur

Scroll to Top