1. Ramai pihak memberikan pandangan bahawa UMNO tidak akan mampu bertanding bersendirian. Saya nampak pandangan ini adalah pandangan politik yang amat popular kerana rata-rata kita masih lagi yakin bahawa mana-mana parti perlu bergabung samada di bawah PN atau PH untuk menang.
2. Jika UMNO ingin bertanding bersendirian, dia boleh meraih sokongan melalui undi satu kelompok pengundi yang sudah jemu dengan politikus yang tidak amanah. Kelompok ini wujud cuma kurang diperhatikan dan kurang diambil kira di dalam gerakerja mana-mana parti. Cuma bilangan dan kekuatannya tidak diketahui secara tepat kerana masih tidak ada kajian konkrit yang dilakukan untuk mengukur saiz mereka.
3. Sebagai permulaan untuk gerakerja bertanding bersendirian, UMNO perlu mengemukakan calon-calon berwibawa yang tidak terpalit dengan mana-mana kesalahan jenayah atau tuduhan jenayah. Ini memerlukan satu kekuatan besar dari UMNO kerana Presiden UMNO sendiri terpalit dengan tuduhan jenayah. Tetapi jika UMNO tidak mahu melakukan rombakan besar ini, dia akan kehilangan sokongan undi dari kelompok yang sudah jemu dengan politikus tidak amanah di samping akan kehilangan sokongan dari penyokong PN dan PH. Sokongan dari ahli UMNO sendiri sukar dijangkakan dengan pergolakan dalaman yang berlaku di dalam UMNO sekarang.
4. Parti-parti bukan Melayu Islam sudah memposisikan diri mereka di dalam PH dan sekarang mula memposisikan diri mereka di dalam PN. Saya yakin bahawa kesemua parti itu sebenarnya memainkan peranan yang sama dalam pakatan-pakatan politik yang berbeza.
5. Pilihan juga kepada UMNO untuk memilih untuk bersama mana-mana pakatan politik tersebut tetapi ia mesti menjadi parti yang dominan dalam menentukan hala tuju. PN mungkin lebih mudah untuk didominasi berbanding PH yang didominasi oleh DAP. Memecahkan dominasi parti bukan Melayu di dalam pakatan politik memang sepatutnya menjadi salah satu objektif mana-mana parti Melayu Islam.
6. Dalam keadaan pilihan yang sukar tersebut, saya rasa pilihan yang baik untuk UMNO adalah kembali memperkasakan Muafakat Nasional bersama PAS yang menjadi harapan majoriti umat Islam. Saya yakin jika UMNO dan PAS solid berpakat, PPBM akan memohon untuk bersama-sama mereka di dalam pakatan tersebut. Parti-parti Melayu Islam lain juga akan bergabung membentuk pakatan yang lebih kuat.