Kanak-kanak positif dadah angkara bapa tiri, Perlu kukuhkan Institusi Kekeluargaan

Baru baru ini, warga Nilai dikejutkan dengan satu berita yang menyedihkan dan menyentuh hati. Seorang kanak kanak berusia tiga tahun disahkan positif dadah jenis Amfatemina dan Methapetamina. Alangkah malangnya bagi anak kecil berusia tiga tahun sudah didedahkan dengan najis dadah seawal usia.

Apabila disiasat, kejadian ini berlaku semasa mangsa dijaga oleh bapa tirinya yang berusia 38 tahun. 

Sekiranya kes ini melibatkan seorang dewasa, mungkin kita tidak pelik kerana mereka banyak dipengaruhi oleh anasir-anasir asing termasuklah dadah yang berbahaya ini. Tetapi, kes ini melibatkan seorang kanak-kanak yang sudah tentu belum benar-benar dapat menyuarakan kehendak diri bahkan jauh sekali dari sifat berdikari. Semua urusan kanak-kanak ini pastinya dibawah tanggungan ibu bapa atau penjaganya.

Kes ini menjadi isyarat kepada kita supaya melihat kembali bagaimana kualiti institusi kekeluargaan di dalam masyarakat kita. Sekiranya kita mengabaikan isyarat penting ini, dikhuatiri pelbagai gejala gejal yang “bukan bukan” muncul lagi dalam masyarakat kita. Dalam konteks yang lebih besar bagaimanakah institusi keluarga dibentuk dan diurus dalam skop masyarakat kita sehingga dapat membendung perkara yang tidak diingini? 

Kita perlu melihat kembali dari mana datangnya institusi kekeluargaan yang berkualiti. Ia datang dari dua insan yang menjaga jati diri yang kuat dan bersatu hati membina sebuah keluarga yang bahagia.

Melihatkan situasi yang ada, kita tidak boleh lagi bergantung dengan kelas kelas agama ketika waktu sekolah dan sedikit waktu yang diluangkan mendengar ceramah agama di masjid. Inisiatif yang holistik perlu dilakukan bagi mewujudkan individu yang berjati diri tinggi.

Segala unsur-unsur yang merosakkan perlu dihalang dari meracuni keperibadian individu-individu di dalam masyarakat kita. Media sosial yang terbuka perlu dipantau dan dikawal oleh pihak yang berautoriti. Kecanggihan teknologi pada hari ini juga perlu digunakan bagi menonjolkan jati diri kita yang hebat.

Pengaruh media sosial yang kini ibarat seperti cendawan tumbuh selepas hujan, janganlah hanya mengejar keuntungan wang ringgit atau populariti sahaja. Mereka perlu mainkan tanggungjawab sosial dengan mengajak masyarakat  mewujudkan suasana yang positif bagi pembentukan institusi kekeluarga yang berkualiti.

Pihak yang berautoriti perlu segera mencegah sebarang unsur-unsur yang boleh menganggu pembentukan institusi kekeluarga yang berkualiti dan mencari jalan proaktif bagi meningkatkan tahap kualiti institusi ini. Para agamawan pula perlu membangkitkan akidah masyarakat daripada ruang lingkup kepercayaan kepada ruang lingkup tindakan harian. Kepercayaan kepada ke-Esaan Allah, kehebatan-Nya dan keagungan-Nya perlu meresapi dalam tindak tanduk harian masyarakat.

Kita juga tidak boleh lagi sekadar mengeluh dan merintih akan setiap masalah sosial yang muncul pada setiap hari. Sikap proaktif perlu dibina bagi membina jati diri inidividu dan masyarakat. Contohnya penubuhan pusat komuniti yang menawarkan khidmat kemasyarakat perlulah disokong dan dibantu. Mereka yang mempunyai idea yang jelas perlulah tampil kehadapan dan menawarkan aktiviti-aktiviti yang memberikan impak yang positif kepada masyarakat. Kita tidak mahu lagi aktiviti-aktiviti yang hanya memberikan keseronokan dan pulangan wang kepada penganjurnya. Kita mahu aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberikan gambaran yang jelas terhadap jati diri serta kualiti individu dan masyarakat makin dipertingkatkan.

Insya-Allah sekiranya perkara ini dapat dilakukan, gejala sosial bukan sahaja dapat dikurangkan. Bahkan masyarakat kita dapat maju kehadapan dalam pelbagai aspek termasuklah teknologi, ekonomi mahupun politik.

Wallahu alam.

Ustaz Khairul Fatihin bin Saedal Atas
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat,
ISMA Cawangan Nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat