‘Kau ni lemah iman, mental tak kuat, ingatlah Allah’

‘Kau ni lemah iman lah, mental tak kuat, ingatlah Allah’

Kadang saya terfikir juga.

Ada adik-adik, kawan-kawan yang saya kenali. Mereka seorang yang menjaga solatnya, tidak tinggal zikir, membaca Al-Quran, rajin solat sunat dan InsyaAllah, paling kuat hubungan dengan Allah. Saya pun tidak mampu mungkin untuk berbuat seperti mereka.

Ya betul, saya tidak menafikan pentingnya menjaga solat, Al-Quran, solat sunat dan berzikir untuk memohon kekuatan daripada Allah SWT. Nasihat tersebut baik sangat sebab saling mengingatkan mereka kepada Allah SWT.

Tapi, kita tidak boleh semberono mengatakan kesakitan (anxiety dan depression) yang mereka alami ini adalah berpunca daripada mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Mana tidaknya.
Ramai yang ‘mental illness’ ini dalam kalangan yang bertudung labuh, berpurdah, berkopiah, sentiasa akrab dengan majlis ilmu dan ada juga pelajar dalam jurusan agama.

Jadi, adakah kita semudah-mudah menghujahkan,
‘Kau ni mesti solat tak khusyuk’
‘Kau ni tak ikhlas berzikir ni’
‘Kau main-main ni masa baca quran’

atau kita selalu mengeluarkan kata-kata,

‘Kau kena banyakkan lagi berzikir’
‘Jangan lupa Allah. Banyakkan solat sunat. Jangan lupa solat taubat.’
‘Kau jaga hubungan dengan Allah, nanti akan mudah sakit tu sembuh’
‘Kau ni, cepat sangatlah mengalah. Lemah la kau ni.’
‘Kau ni, cubalah kuat sikit. Benda macam ni pun kau mengadu, bukan kau je rasa. Normal la tu apa kau rasa. Ala, tak payah fikir sangatlah’

Saya kalau tanya mereka yang sedang dalam fasa anxiety dan depression. Ya. Jawapan mereka adalah,

‘Saya tak tinggal pun solat.’
‘Saya selalu buat solat Sunat taubat’
‘Saya tak pernah tinggal zikir sampai 700-1000 kali sehari’
‘Saya doa sungguh-sungguh agar Allah angkat sakit ni’
‘Saya tak tahulah kenapa tiba-tiba rasa takut, rasa tak selamat, takut hilang kawalan’
‘Saya tiba-tiba rasa pilu, sedih.’ Saya tak fikir apa-apapun, dia datang tiba-tiba’

Hm..
Ya, betul kawan-kawan. Mereka sebenarnya paling jaga hubungan dengan Allah.

Adakah sebab mereka meluahkan rasa dan ‘update’ status tentang sakit mereka, kita dengan mudah-mudah mengatakan mereka lemah iman?

Jika begitu, pesakit jantung, kanser, buah pinggang, darah tinggi juga lemah iman?

Logiknya, ibadah yang mereka lakukan itu takkan mereka nak kongikan di media sosial?

Lagilah macam-macam yang ditujah nanti,

‘Solat pun nak update ke?’
‘Berzikir pun nak update ke?’
‘Tak payahlah nak tunjuk kau alim sangat nak update kau baca Al-Quran bagai’

Maka, di sini adakah kita mahu mereka ‘update’ ibadah mereka di media sosial supaya dikatakan tidak lemah iman?

Mereka tidak minta sakit itu hadir dalam kehidupan. Kita tidak layak untuk menghukum dan berprasangka buruk kepada mereka.

Mereka memerlukan sokongan.
Sokongan yang rapat dan selamat.

Ada pelbagai sebab mengapa boleh datang ‘mental illness’ ini. Simptom yang datang adalah simptom fizikal, emosi dan banyak ‘trigger’ yang boleh menjadi sebab sakit ini datang.

Semua simptom yang datang ini boleh jadi dengan sebab dan boleh jadi tanpa sebab.

Mereka bukan sakit jiwa.
Mereka bukan gila.
Mereka bukan tidak kuat iman.
Mereka bukan jauh daripada Allah SWT.

Sebenarnya, kata-kata yang kita lemparkan kepada mereka seperti lemah iman, tidak kuat mental. Mental cepat koyak. Itu semua kata-kata yang membunuh. Ya, membunuh.

Bagi saya, dalam tempoh Covid-19 yang masih lagi mengganas dengan keadaan PKPB dan PKPD akan menjadikan pesakit ini ‘relapse’ semula dan akan ada yang tiba-tiba terkena serangan anxiety (Anxiety attack dan panic attack). Serangan ini akan datang secara mengejut.

Apatah lagi jika kata-kata negatif yang kita lemparkan kepada mereka sudah tentulah perasaan mereka akan semakin kacau bilau dan hilang arah tuju.

Setiap individu pasti berbeza pengalaman anxiety dan depression mereka.
Ada yang dapat sembuh tanpa ubat. Ada yang sembuh dengan ubat.

Ada yang ambil setahun, dua tahun, bahkan mungkin bertahun-tahun untuk sembuh.

Stigma masyarakat menganggap segalanya adalah negatif kepada mereka yang menghidapi ‘mental illness’ ini. Jujurnya, saya sangat sedih sebab masih ramai lagi yang tidak cakna dan ambil peduli isu kesihatan mental. Masih meletakkan kesihatan mental adalah faktor iman dan ada juga yang melabelkan sebagai gila sedangkan kesihatan mental adalah sama dengan penyakit yang lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser yang mana memerlukan rawatan doktor, terapi, dan ubatan hospital. Sekali lagi, tiada siapa yang mahukan penyakit ini dalam diri mereka.
Kita tidak duduk di tempat mereka. Jadi kita takkan faham apa yang mereka rasa.

Membantulah dengan ilmu, membantulah dengan empati, membantulah dengan meminjam telinga, membantulah dengan motivasi bukan mengecam dan komen balas mereka sesuka hati.

Herlina Tarmizi
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat