Kemahiran menggunakan kecerdasan buatan atau AI membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menghasilkan kerja yang lebih baik, di samping meneroka bidang yang sebelum ini berada di luar kemampuan mereka. Namun demikian, perkembangan ini turut membawa suatu persoalan yang lebih besar terhadap masa depan negara. Sejauh manakah kemahiran tersebut dapat menyuburkan cita-cita untuk mencipta teknologi sendiri?
Tinjauan Work Trend Index 2026 Microsoft yang melibatkan 2,000 pekerja berpengetahuan di Malaysia memberikan gambaran yang menarik. Dalam kalangan pengguna AI yang ditinjau, 69% melaporkan bahawa mereka dapat menghasilkan kerja yang tidak mampu dihasilkan setahun sebelumnya. Bagaimanapun, hanya 19% mengatakan mereka diberi ganjaran kerana mengubah cara kerja apabila usaha itu belum menghasilkan manfaat segera.
Walaupun dapatan ini menggambarkan pengalaman pekerja yang ditinjau, terdapat pengajaran yang relevan terhadap usaha membina budaya mencipta. Keupayaan menggunakan teknologi perlu disertai suasana yang menggalakkan percubaan, kerana sesuatu idea mungkin memerlukan masa sebelum dapat membuktikan nilainya. Sekiranya keberanian mencuba tidak mendapat sokongan, kemahiran yang semakin berkembang itu mungkin hanya digunakan untuk mempercepat kerja sedia ada.
Oleh hal yang demikian, agenda AI negara perlu memberi perhatian kepada perubahan cara fikir masyarakat, khususnya dalam melihat peranan mereka sebagai pencipta. Selagi teknologi dibayangkan sebagai sesuatu yang datang dari luar untuk dibeli dan digunakan, cita-cita masyarakat juga mudah terbatas kepada kemampuan memilih produk yang terbaik. Sedangkan masalah tempatan, pengalaman masyarakat dan ilmu yang dimiliki boleh menjadi titik mula kepada pembangunan teknologi yang bernilai.
Dalam konteks ini, kedaulatan pemikiran merujuk kepada kebebasan sebuah bangsa menentukan cita-cita dan kepentingannya sendiri, seterusnya membina keupayaan untuk mengarahkan pembangunan teknologi kepada tujuan tersebut. Hal ini, menuntut keyakinan bahawa rakyat Malaysia juga berupaya menghasilkan ilmu dan penyelesaian yang diperlukan negara. Daripada keyakinan inilah, usaha melahirkan pencipta memperoleh sebab untuk diperjuangkan secara bersama.
Kehendak nasional menjadi penting bagi menghubungkan keyakinan masyarakat dengan tindakan yang berterusan. Pembangunan AI sememangnya memerlukan kepakaran, data, kemudahan pengkomputeran dan pembiayaan yang mencukupi. Namun, kesediaan untuk menyediakan semua keperluan ini bergantung juga pada sejauh mana penciptaan teknologi dianggap sebagai kepentingan bersama. Apabila tujuan tersebut difahami, pendidikan dan penyelidikan dapat diberikan arah yang jelas, manakala industri melihat sebab untuk melabur serta memberi peluang kepada hasil tempatan.
Kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia” pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan perbandingan yang berguna. Seruan tersebut menghubungkan pilihan pengguna dengan barangan yang dihasilkan dalam negara, sekali gus mengangkat persoalan keyakinan terhadap kebolehan pengeluar tempatan. Pengajaran yang boleh dibawa ke dalam zaman AI ialah hubungan antara cita-cita untuk menghasilkan sesuatu dengan kesediaan masyarakat memberi ruang kepada hasil tersebut untuk berkembang.
Semangat ini perlu diterjemahkan mengikut keperluan penciptaan AI. Pelajar perlu dapat membayangkan dirinya sebagai pembangun teknologi, sementara penyelidik melihat peluang untuk membawa hasil ilmunya kepada kegunaan masyarakat. Pada masa yang sama, syarikat dan agensi kerajaan perlu bersedia menilai serta menguji penyelesaian tempatan yang berpotensi. Dengan adanya hubungan ini, keyakinan terhadap kemampuan negara dapat mempengaruhi keputusan belajar, pelaburan dan pembelian secara lebih nyata.
Mencipta AI juga perlu difahami dalam ruang yang luas. Selain membangunkan cip dan model, penciptaan boleh berlaku melalui penghasilan kaedah baharu atau aplikasi yang menyelesaikan masalah khusus. Sebagai contoh, pengetahuan tentang tanaman tempatan boleh digabungkan dengan AI untuk membangunkan sistem pertanian yang sesuai dengan keadaan di lapangan. Nilainya terletak pada kemampuan pasukan tempatan mereka bentuk, menguji dan memperbaiki sistem tersebut, di samping mengembangkan pengetahuan melalui proses pembangunannya.
Hal ini tidak menghendaki Malaysia membangunkan setiap komponen dari awal. Ilmu dan teknologi dari luar masih boleh dimanfaatkan, dengan syarat pasukan tempatan memahami asas penggunaannya serta mempunyai ruang untuk mengubah dan mengembangkannya. Bidang yang kritikal pula perlu dikenal pasti bagi membolehkan pelaburan yang lebih mendalam dilakukan. Melalui pendekatan ini, kerjasama antarabangsa dapat membantu membina kepakaran, sementara negara terus memperkukuh kemampuan menentukan keperluannya sendiri.
Di peringkat pendidikan, pembentukan cara fikir pencipta perlu disemai melalui pengalaman membina sesuatu. Pelajar boleh dibimbing untuk mengenal pasti masalah di sekeliling mereka, mendapatkan maklumat yang diperlukan dan menguji penyelesaian yang dibangunkan. Apabila sistem melakukan kesilapan, mereka perlu memahami puncanya serta mencari jalan untuk memperbaikinya. Pengalaman sedemikian memberi makna kepada ilmu yang dipelajari kerana pelajar dapat melihat hubungannya dengan keperluan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, kemahiran membaca, mengira dan berhujah tetap perlu diperkukuh supaya penggunaan AI disertai pertimbangan yang baik. Guru juga memerlukan latihan dan ruang untuk membimbing projek mengikut tahap pembelajaran pelajar. Sekiranya kejayaan hanya diukur melalui kelajuan menyiapkan tugasan dengan alat yang tersedia, peluang untuk menyuburkan keberanian bertanya dan mencuba akan menjadi semakin sempit.
Dalam konteks universiti pula, hubungan antara penyelidikan dengan masalah negara perlu diperkukuh melalui kerjasama yang berterusan dengan industri dan masyarakat. Penyelidik memerlukan rakan yang memahami masalah sebenar, selain kemudahan untuk menguji idea dan mengembangkan hasil yang berpotensi. Dalam masa yang sama, penyelidikan asas wajar terus dipelihara kerana ilmu yang dibina hari ini boleh menjadi asas kepada penciptaan teknologi pada masa hadapan.
Usaha tersebut perlu disokong oleh pembiayaan yang mengambil kira sifat pembangunan teknologi. Sesebuah produk mungkin melalui beberapa percubaan dan pembaikan sebelum dapat digunakan dengan baik. Justeru, pasukan tempatan perlu diberikan peluang membuktikan kemampuan dengan sasaran yang jelas serta penilaian yang teliti. Kegagalan awal harus diperiksa untuk mengenal pasti perkara yang boleh diperbaiki, manakala sokongan seterusnya diberikan berdasarkan kemajuan yang dapat dibuktikan.
Selain pembiayaan, peluang mendapatkan pelanggan awal turut menentukan sama ada hasil penciptaan dapat berkembang. Inisiatif Inovasi Kerajaan atau GII, yang diumumkan pada Februari 2026, memang bertujuan menghubungkan masalah awam dengan penyelesaian tempatan. Melalui usaha seperti ini, produk yang berjaya diuji perlu mempunyai laluan kepada pembelian dan penggunaan sebenar. Sekiranya jenama luar sentiasa dianggap lebih meyakinkan sebelum mutu dibandingkan, ruang untuk pencipta tempatan membuktikan kebolehannya akan terus terbatas.
Namun demikian, sokongan terhadap hasil tempatan turut menuntut tanggungjawab daripada pengeluar. Ketepatan, keselamatan dan kegunaan produk perlu diuji, manakala kelemahan yang dikenal pasti hendaklah diakui serta diperbaiki. Kepercayaan masyarakat akan lebih mudah terbina apabila produk berfungsi dengan baik dan pembangunnya bersedia menangani masalah yang timbul. Dengan itu, kebanggaan terhadap hasil tempatan mempunyai asas pada mutu yang dapat dirasai oleh pengguna.
Dari sudut dasar, Malaysia sudah mempunyai usaha yang seiring dengan cita-cita ini. Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 menekankan pembinaan keupayaan negara dan penyelesaian AI “Made by Malaysia”. Melalui peluasan Rakyat Digital, kerajaan turut mengumumkan Global Learning Pass untuk kohort 25,000 rakyat Malaysia setiap tiga bulan. AI Builders Hub pula diumumkan untuk diperkenalkan mulai Oktober 2026 bagi membantu peserta menguji idea dan membangunkan penyelesaian sendiri.
Inisiatif tersebut menyediakan laluan yang relevan untuk meluaskan penyertaan rakyat dalam penciptaan AI. Bagaimanapun, perhatian perlu diberikan kepada perjalanan peserta selepas latihan, kerana kelompongan boleh muncul apabila kemahiran baharu tidak disambungkan dengan peluang untuk digunakan. Sekiranya peserta tamat kursus tanpa bimbingan, kemudahan menguji produk atau pelanggan awal, cita-cita mencipta mudah terhenti sebelum sempat berkembang.
Oleh itu, program sedia ada perlu dihubungkan dengan pembiayaan prototaip, rakan industri dan peluang pembelian yang bersesuaian. Penilaian kemajuan juga wajar melihat produk yang benar-benar digunakan serta kemampuan pasukan tempatan memperbaikinya dari semasa ke semasa. Kelangsungan perniagaan yang terbina melalui usaha tersebut turut memberi gambaran tentang keberhasilannya. Jumlah penyertaan kursus penting untuk menunjukkan capaian latihan, namun kemampuan yang terhasil selepasnya perlu mendapat perhatian yang sama.
Kehendak nasional akhirnya menuntut komitmen yang melangkaui kepentingan segera. Membentuk kepakaran dan membangunkan teknologi mungkin mengambil masa lebih panjang daripada tempoh jawatan seorang pemimpin. Oleh sebab itu, kerajaan, industri dan institusi ilmu perlu mengekalkan tujuan bersama walaupun pendekatan pelaksanaan boleh berubah. Kesinambungan inilah yang memberi keyakinan kepada rakyat untuk menceburkan diri dalam usaha penciptaan yang memerlukan masa dan ketekunan.
Tuntasnya, kedaulatan pemikiran dalam zaman AI bermula apabila sebuah bangsa mempunyai keyakinan untuk menentukan cita-citanya, kemudian menyediakan peluang bagi rakyat merealisasikannya. Malaysia perlu menyuburkan kehendak bersama untuk menjadi bangsa pencipta melalui pendidikan, penyelidikan dan sokongan yang berterusan. Apabila masyarakat berani menghasilkan idea, sementara institusi negara bersedia memberi ruang untuk idea itu diuji dan dikembangkan, cita-cita mencipta akan mempunyai tempat yang nyata dalam kehidupan rakyat.
Qamarul Nazrin bin Harun
Ketua Unit Kajian Techsamana


