Kemelut Politik Negara, Isma Saran Agong Ambil Alih Pentadbiran sementara

Semenjak kerajaan ‘Melayu-Islam’ yang digelar Perikatan Nasional (PN) terbentuk lebih kurang 10 bulan yang lalu boleh dikatakan isu-isu politik negara tidak pernah tenang. Ketidaktenangan itu bukan sahaja berpunca dari pembangkang yang membuat kacau, tetapi banyak juga datang dari konflik dalaman parti-parti kerajaan.

Saya sebenarnya tidak hairan sangat jika pembangkang yang menimbulkan ketegangan politik tetapi jika ketidakstabilan politik negara itu datang dari parti kerajaan ‘Melayu-Islam’ itu sendiri, agak mengecewakan.

Walaupun mereka sudah memerintah dan memegang pelbagai jawatan sama ada sebagai menteri atau ketua GLC, tetapi masih ada juga kelompok yang tidak puas hati. Mungkin kerana mereka sudah memerintah negara begitu lama sehinggakan tidak mampu menerima jika ada sahaja keinginan mereka tidak dipenuhi.

Sejak bila pulakah jawatan-jawatan dalam kerajaan itu hakmilik mutlak parti politik yang memerintah atau parti politik yang punyai banyak kerusi? Ia hanya suatu tradisi yang direka-reka oleh para politikus sejak sekian lama. Maka, mereka yang bersungguh-sungguh bergaduh kerana berebut jawatan sesama sendiri ini sangatlah tidak bermaruah.

Pada masa yang sama, mereka tahu tindakan sebegini akan hanya menyebabkan ekonomi menjadi tidak stabil, merosot dan menjejaskan rakyat. Lebih malang lagi berlaku semasa krisis seperti sekarang. Rakyat sudah bosan dengan karenah politikus kerana rata-ratanya lebih memikirkan survival diri dan keluarga dalam saat-saat getir krisis ekonomi ini.

Walaupun PRU-15 sudah tidak lama lagi, tetapi mereka tidak sabar. Tetapi ingatlah, rakyat sudah lama bersabar dan mereka sedang memerhati dalam diam. Jangan lupa dan ambil remeh akan perkara ini.

Pada masa yang sama juga, kita tidak nafikan bahawa kepimpinan yang ada hari ini dilihat menekan-nekan parti komponen atau sekutu yang lain sehingga ada yang hilang sabar. Tetapi jangan lupa, kami NGO-NGO ditekan sejak dahulu sehingga sekarang, walaupun yang pada dahulunya mereka bergelar ‘sahabat’ ketika tiada kuasa.

Jika kemelut politik negara kali ini berpanjangan, saya mencadangkan agar Yang Dipertuan Agong ambil alih sahaja pemerintahan negara dari ahli-ahli politik yang ada ini buat sementara waktu sehingga tibanya saat yang sesuai untuk diadakan PRU-15. Daulat Tuanku.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
15 Oktober 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat