NILAI, 5 Oktober – Kreativiti dan teknologi kecerdasan buatan (AI) digabungkan dalam usaha menyemai kesedaran terhadap kepentingan warisan budaya dalam kalangan remaja menerusi Pertandingan Jejak Warisan: Cabaran Reka Poster AI.
Pertandingan bertemakan “Kenali Warisan, Cipta Dengan AI” dengan slogan “Sejarah Kita, Masa Depan Kita” itu dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Nilai dengan kerjasama Pusat Komuniti Anjung Hikmah.
Terbuka kepada remaja berusia 13 hingga 16 tahun di sekitar Nilai, pertandingan tersebut memberi peluang kepada peserta meneroka penggunaan teknologi AI dalam menghasilkan karya kreatif bertemakan sejarah dan warisan budaya.
Menurut Pengarah Program, Muhamad Hasif Zakaria, penganjuran pertandingan ini turut membawa mesej bahawa “Warisan bukan sekadar masa lalu, tetapi inspirasi untuk masa depan”, sekali gus menggalakkan generasi muda menghargai identiti dan khazanah budaya negara melalui pendekatan yang lebih dekat dengan perkembangan teknologi semasa.
Wan Azrul Hakimi Wan Khairul Anuar dari SMK Nilai Impian muncul sebagai juara menerusi karya bertajuk “Kenali Warisan Malaysia: Sumber Inspirasi Masa Depan” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100.
Tempat kedua dimenangi Haifa Lily Insyirah Mohd Haizanizam dari SMK Desa Cempaka menerusi poster bertajuk “Warisan Malaysia: Jati Diri Kita, Warisan Bersama” yang melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM80.
Sementara itu, Muhammad Adam Mikail Mohd Eraziwan dari SMK Dato Mohd Said meraih tempat ketiga menerusi karya “Sukan dan Permainan Tradisional: Warisan Budaya, Jati Diri Bangsa” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50.
Menurut Hasif lagi, pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengetengahkan kreativiti remaja sekitar Nilai, malah turut mendedahkan mereka kepada potensi teknologi moden sebagai medium untuk mendokumentasikan, memperkenalkan dan memelihara nilai sejarah serta kebudayaan tempatan.
“Penganjuran program ini mencerminkan usaha memperluas penglibatan komuniti remaja dalam aktiviti yang menggabungkan elemen warisan, dakwah, kreativiti dan literasi teknologi, selari dengan perkembangan dunia digital masa kini,” katanya.


