Kenapa MB Selangor lembut sangat pada Tauke Haram?

Entah mengapalah kita lihat sejak dua menjak ini, tauke-tauke yang melakukan pencerobohan atau perkara haram seringkali mendapat peluang untuk membuat pemutihan.

Lihat sahaja isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang, bagaimana pemutihan juga ditawarkan oleh exco tetapi akhirnya ‘U-turn’ hasil desakan rakyat. Tetapi ‘layanan’ istimewa tetap diperoleh, melalui pembelaan melalui parti politik dan ‘deal’ belakang.

Dalam isu kilang haram di Selangor ini, asasnya tetap sama iaitu mana-mana pihak yang menjalankan operasi secara haram mesti dibawa ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi apabila menyusahkan seluruh rakyat Selangor. Maka, tindakan yang tegas harus diambil dan bukannya diberi apa-apa peluang, jauh sekali untuk pemutihan atau ‘dihalalkan’. Hukuman tetap mesti diteruskan.

Persoalannya, mengapakah mereka ini dibiarkan untuk tempoh yang lama untuk dikesan, iaitu sejak tahun 2018? Takkan apabila sudah berlaku pencemaran yang teruk sebegini baru nak kesan? Atau apakah ada dalang di belakang semua ini? SPRM patut siasat segala kemungkinan ini.

Kita gesa agar jangan ada rundingan dilakukan, termasuklah apa-apa rundingan di belakang tabir. Kilang mesti ditutup serta-merta dan tidak dibenarkan operasi. Sangat tidak adil untuk rakyat yang keselesaan hidup mereka tergendala berhari-hari tetapi kilang tersebut boleh pula bersenang-lenang.

Pemilik tanah juga perlu dikenakan tindakan kerana membiarkan kilang haram beroperasi di tanah mereka, lebih-lebih lagi mengakibatkan pencemaran yang teruk.

Oleh itu, kita gesa agar kerajaan dan pihak berkuasa proaktif mengenalpasti operasi-operasi haram lebih-lebih lagi apabila yang melibatkan kesejahteraan awam. Kita tidak mahu asyik terhantuk, baru nak terngadah sahaja (dan berulang-ulang sahaja).

Rakyat akan terus memerhati.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
11 September 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat