KENYATAAN MEDIA : Kekalkan Tujuan Penubuhan Tabung Haji

KENYATAAN MEDIA
Kekalkan Tujuan Penubuhan Tabung Haji

1.Pada 15 Julai 2021, Menteri Kewangan mengumumkan persetujuan Jemaah Menteri untuk menambahbaik pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) secara menyeluruh.

2. Salah satu langkah yang bakal diambil adalah menyenaraikan sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, serta dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

3. ISMA mengalu-alukan usaha kerajaan dalam melakukan penambahbaikan berterusan kepada LTH. Walau bagaimanapun, usaha ini perlu dilakukan dengan ikhlas dengan mengambil kira kepentingan umat Islam tanpa ada motif-motif lain.

4. LTH adalah sebuah institusi ekonomi umat Islam yang berperanan besar dalam membangunkan sosioekonomi serta pegangan ekonomi umat Islam secara menyeluruh. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, LTH perlu kekal diurus oleh orang Islam sahaja.

5. LTH bukanlah sebuah bank yang hanya melihat kepada untung dan rugi dalam setiap urus niaga. Jauh sekali LTH diperalatkan oleh golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan dari duit simpanan umat Islam.

6. ISMA berpandangan bahawa Akta Tabung Haji 1995 sudah memadai bagi mencapai tujuan penubuhannya. Sekiranya perlu semakan, ia hendaklah dilakukan tanpa mengurangkan keistimewaan status LTH demi kelangsungan masa depan umat Islam.

7. ISMA turut berpandangan bahawa adalah lebih baik pada masa sekarang untuk memantapkan barisan pengurusan LTH dengan melantik tokoh-tokoh ekonomi Islam yang berkaliber, professional, berintegriti dan berpengalaman, tanpa mengambil kira kecenderungan politik masing-masing.

8. Pengurusan LTH perlu dibebaskan dari kongkongan politik, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, agar kepentingan ekonomi umat Islam sentiasa diutamakan. Amalan melantik pengerusi LTH dari kalangan ahli politik mesti ditamatkan.

 

Dr. Ahmad Kamsani Bin Samingan
Timbalan Presiden ISMA
17 Julai 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat