Belum pun reda isu yang melibatkan tindakan pengecaman pelajar yang didatangi haid secara tidak enak, dengan berhujahkan pelajar kerap berbohong untuk bersolat.
Timbul satu lagi isu yang saya kira menggemparkan institusi dan profesionalisma para pendidik di luar sana, isu gurauan berkenaan “rog.l” dalam keadaan yang terbuka. Menambah luka pada isu ini apabila aduan yang dibuat pada pihak berwajib sekolah (kaunselor) pula mendapat sambutan yang agak hambar.
Dan situasi itu tidak terhenti setakat itu, tetapi terus membarah apabila ada segelintir pendidik yang meninggalkan komen berbaur “luc.h” pada gambar pelajar berkenaan di ruangan komen laporan berita Malaysiakini.
Apa sudah jadi dengan mentaliti sesetengah pendidik ini?
Kerana sikap mereka yang tidak acuh dan sensitif dalam menghormati seorang pelajar, habis keseluruhan institusi pendidikan menerima tempiasnya. Di mana letaknya maruah kalian sebagai seorang pendidik anak bangsa?
Menjadikan para pelajar yang sepatutnya menjadi naungan perlindungan kalian menggantikan ibubapa mereka sebagai satu objek seks yang boleh ditertawakan sesuka hati.
Dua minggu sebelum ramadan, saya sendiri hampir nak bergaduh dengan seorang pekerja tempatan yang secara tiba-tiba datang melepak memerhatikan gelagat para pelajar perempuan kami bersukan di petang hari dalam keadaan yang mencurigakan dan merimaskan para pelajar sendiri.
Sedangkan kawasan bagi pelajar perempuan dan lelaki sendiri telah diasingkan. Bila kita minta berlalu secara baik, beliau berdegil. Dan mula keluarkan kata-kata berbaur lucah pada pelajar perempuan tersebut di hadapan saya.
Tangan dan kaki memang nak naik dah untuk dihayunkan dekat kepala mamat ni. Kalah menang nombor dua. Tapi insyallah kalau kalah pun, backup daripada pelajar lelaki yang ada di padang sebelah confirm menerpa tiba.
Mujur masih berfikir panjang dan cepat hubungi pihak PDRM. Selang beberapa minit, pihak Polis sampai dan sementelah itu beliau menghilangkan diri sehingga hari ini.
Para pelajar ada yang bertanya, “tak takut ke kalau jadi apa2?”
“Tak, sebab memang tugas saya untuk melindungi pelajar sedaya mampu”.
Kebetulan saya ada disitu. Bahkan jika kawan-kawan saya ada juga, boleh jadi memang kena belasah terus orang tersebut.
Itu jawapan spontan. Tetapi hakikatnya lebih dari itu, saya membayangkan jika yang bersukan itu adalah kakak atau isteri atau anak sendiri, takkan nak biar sahaja maruah mereka diinjak walaupun secara lisan.
Berbalik kepada sikap segelintir para pendidik tadi, hakikatnya, bergelak sakan dengan perkara lucah dihadapan para pelajar bukannya perkara baharu. Itu yang dihadapan pelajar. Yang galak menggedik, berbual lucah dengan isteri orang di sekolah pun tak terkecuali.
Sudah sampai masanya para guru wanita jika menjadi mangsa perbualan lucah para guru lelaki yang celaka ini, terus buat laporan pada polis dan ambil tindakan sewajarnya.
Mereka bukan tidak punya anak, isteri, adik beradik dan ibu. Tetapi nafsu serakah mereka umpama syaitan yang tidak terbelenggu lagi. Mereka inilah duri dalam serkam yag menyebabkan institusi pendidikan yang sepatutnya dihormati, tetapi telah mendapat calitan buruk.
Mereka wajar diambil tindakan setimpal. Pihak yang berkomplot bersama mereka samada terdiri daripada pihak mana pun wajar dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!
Lelaki itu sifatnya adalah pelindung bagi wanita. Lindungan itu pula ada sifatnya menyeluruh. Menjaga maruah mereka sehingga ke akhirnya. Bahkan datangnya Islam pun sifatnya memuliakan kedudukan wanita kembali ke tempatnya setelah wanita mendapat kehinaan teruk pada zaman jahiliyah.
Takkan kita nak kembali ke zaman itu?
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita” (Surah Annisa)
Muhamad Afif Bin Idris
Aktivis ISMA Nilai