SUNGAI PETANI, 14 November – Semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan menjadi antara nilai yang ditonjolkan oleh kontinjen ISMA Alor Setar menerusi penyertaan dalam Karnival Sukan ISMA (KERIS) Zon Utara 2026 yang berlangsung di Amanjaya Sports Arena, 7 November lalu.
Karnival tersebut menghimpunkan kontinjen daripada tujuh cawangan ISMA di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dalam usaha mengeratkan hubungan persaudaraan serta menyemarakkan budaya hidup aktif dalam kalangan ahli dan aktivis ISMA.
ISMA Alor Setar telah menghantar kontinjen yang menyertai ketiga-tiga acara yang dipertandingkan, iaitu futsal, badminton dan pingpong. Penyertaan tersebut memperlihatkan komitmen anak-anak muda ISMA Alor Setar dalam memeriahkan kejohanan di samping menguji kemampuan dan semangat berpasukan masing-masing.
Walaupun tidak meraih kejuaraan keseluruhan, kontinjen ISMA Alor Setar berjaya mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan. Antaranya ialah naib juara acara futsal menerusi pasukan Alor Setar B, manakala pasukan badminton Alor Setar B meraih tempat ketiga. Dalam acara pingpong pula, ISMA Alor Setar telah menghantar tiga pasukan, iaitu Alor Setar 1, Alor Setar 2 dan Alor Setar 3.
Lebih daripada sekadar medan persaingan, KERIS 2026 turut menjadi ruang untuk membina ukhuwah antara ahli dan aktivis ISMA dari seluruh Zon Utara. Interaksi sepanjang kejohanan membuka peluang kepada para peserta untuk saling mengenali, membina hubungan yang lebih erat serta memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain.
Menurut Bendahari Agung ISMA, Muhammad Faisal Kamarul Zaman, penganjuran kejohanan sukan seperti ini mencerminkan pendekatan ISMA dalam pembinaan insan secara menyeluruh, yang merangkumi aspek rohani, intelektual, jasmani dan akhlak.
“Sukan bukan sahaja berperanan membina kecergasan fizikal, malah menjadi medan tarbiah untuk membentuk disiplin, ketahanan mental, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Ujarnya lagi, hal ini, selari dengan aspirasi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembinaan Ummah Fadhilah, kerana kekuatan ummah turut bergantung pada pembinaan individu yang sihat, berdaya tahan dan mempunyai kesatuan dalam melaksanakan tanggungjawab bersama.
Tahniah diucapkan kepada seluruh atlet ISMA Alor Setar atas komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan. Penghargaan turut diberikan kepada pihak penganjur, urus setia, para penaja serta semua kontinjen yang telah menjayakan KERIS Zon Utara 2026.
Semoga kejohanan ini terus menjadi wadah memperkukuh ukhuwah, menyuburkan budaya kesukanan dan membina generasi yang lebih berdaya saing demi pembangunan ummah.


