Kita sering bercakap tentang tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Tetapi bagaimana pula dengan peranan masyarakat sekeliling yang turut menyumbang pengaruh kepada anak-anak. Misalnya pihak sekolah, masjid, jiran, dan pihak media yang bertanggungjawab menayangkan drama dan filem kepada anak-anak tanpa sebarang kawalan.
Hari ini, semakin banyak karya hiburan seperti drama dan filem yang mengangkat tema hubungan sejenis, pengkhianatan rumah tangga, hubungan seksual dan kehidupan penuh maksiat sebagai bahan tontonan.
Contohnya, baru-baru ini sebuah drama atas talian semakin berani memaparkan adegan Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) secara terang-terangan, seolah-olah sedang mengajar penonton melakukan perbuatan songsang yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah SWT.
Ditambah lagi dengan isu aurat yang terdedah dan batas pergaulan antara berlainan jantina dan sesama jantina yang tidak dijaga.
Persoalan buat pembikin drama dan filem di Malaysia, adakah semua perkara dalam bilik tidur perlu ditayangkan untuk menghasilkan cerita yang menarik? Adakah adegan intim dan perlakuan yang melanggar batas agama perlu dipaparkan secara terbuka dengan alasan untuk mendidik masyarakat?
Apa yang lebih penting, apa sebenarnya mesej yang ingin disampaikan kepada anak-anak dengan adegan tersebut?
Sebagai ibu bapa dan masyarakat, kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan hukum Allah SWT dilanggar sesuka hati. Lalu, membiarkan sesuatu maksiat itu tanpa sebarang teguran. Hal ini, dikhuatiri memberi kesan kepada anak-anak yang sedang membesar.
Ya, sebuah karya mungkin tamat selepas satu jam ianya ditayangkan. Tetapi mesej yang tertanam akan meninggalkan kesan dalam jiwa seorang anak selama bertahun-tahun bahkan mungkin selamanya.
Jelas di sini bahawa, kita sebenarnya bukan sekadar bercakap tentang pendidikan anak-anak. Sebaliknya, tentang pembentukan sebuah generasi.
Malaysia tidak mungkin mampu membina generasi yang hebat, jika jiwa mereka dibentuk oleh nilai yang bertentangan dengan agama.
Kalau kita mahu membina sebuah peradaban yang unggul, kita mesti menjaga persekitaran yang membentuk dan mengesankan pemikiran anak-anak.
Ketahuilah mendidik anak-anak hari ini, bukan tugas ibu dan ayah sahaja, tetapi menuntut kerjasama semua pihak. Maka setiap pihak yang mempunyai pengaruh, termasuklah pembikin filem dan drama, mempunyai amanah untuk memastikan apa yang disiarkan bukan untuk memenuhi nafsu manusia, tetapi untuk memberi nilai yang mampu memelihara maruah, agama Islam dan membentuk masa depan yang baik buat generasi hari ini.
Kembalilah kepada rasa malu terhadap dosa dan maksiat. Kembalilah kepada rasa pentingnya memelihara maruah diri, masyarakat dan agama. Kembalilah kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia.
Mimi Azlina binti Razali
Setiausaha Biro Media ISMA


