Kita Lemah Andai Bergantung Pada Diri Sendiri

Apabila Allah menguji hambaNya, Allah beri ujian mengikut apa yang termampu ditanggung oleh hamba itu. Allah takkan beri suatu ujian yang tak mampu ditanggung oleh seseorang.

Kita seorang anak, kita seorang pekerja, kita seorang ibu, kita seorang isteri, kita seorang aktivis, kita seorang naqibah, kita seorang penulis, dan seorang apa dan apa lagi pun semua itu adalah Allah yang pilih, bukan manusia.

Tak lain tak bukan untuk menguji seseorang itu yang manakah paling baik amalnya terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberi sama ada kita suka ataupun tidak. Sebab matlamat hidup kita adalah untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Hidup ini adalah semata-mata kerana Allah dan bukan semata-mata untuk memuaskan kehendak diri sendiri sebab itu kita diuji untuk setiap perkara yang kita suka atau tak suka. Maka, ikhlaslah dan hadapi ujian itu dengan sabar, tenang walaupun susah.

Bersyukurlah kerana terpilih untuk diuji kerana Allah nak meningkatkan kedudukan kita dan nak jadikan kita lebih baik.

“Aku tak bolehlah lakukan amanah dan tanggungjawab ini. Berat. Tak sanggup buat. Penat”.

Adakah kita lebih “tahu” dari Allah bila berkata-kata seperti di atas? Tepuk dada tanyalah diri dan iman. Banyakkan istihgfar andai pernah terlintas atau terfikir seperti itu kerana Allah Maha tahu untuk setiap perkara yang ditentukan kepada setiap hambaNya.

Cuma kita yang perlu redha menerima keadaan itu dan hadapilah. Kalau kita hanya bergantung kepada diri memang tak sanggup dan tak mampulah. Kalau kita bergantung pada manusia memang hari-hari nak marahlah dan lama-lama tertekan.

Allah suruh kita bergantung hanya kepadaNya kerana kita takkan mampu buat dengan diri kita tanpa pertolongan Allah. Saat merasa berat mendekatlah kepada Allah kerana di situ adanya kekuatan bukan kata kat Allah “aku tak mampu”. Dalam hidup ini tiada benda yang mudah. Tiada kejayaan tanpa usaha, tiada perjuangan tanpa pengorbanan.

Scammer pon kena usaha untuk dapatkan duit orang . Musuh Islam pun bersengkang mata nak dakyahkan umat Islam. Inikan perjuangan kebenaran. Manalah boleh duduk senang-senang. Manakan boleh golek-golek berehat-rehat dan mempunyai masa “me time” yang banyak dan hanya masa “me time” dengan Allah sahajalah adalah rehat yang sebenar.

Kejayaan sesuatu perjuangan itu tak perlukan ramai orang. Sebab itu Allah sendiri akan tapis mereka-mereka yang benar-benar ikhlas sepanjang perjalanan perjuangan kehidupan ini. Cukuplah peristiwa perang badar menjadi iktibar.

Pahlawan tak diiktiraf kerana kemenangan dalam sesuatu peperangan atau misi. Walaupun kalah tetap dikira pahlawan seandainya niatnya benar kerana Allah. Cukuplah dengan amalnya yang berbicara dalam kehidupan dan dalam perjuangan tanpa keramaian kerana Allah telah berjanji sama ada “syahid” atau “menang”.

Maka, berangkatlah kamu walau dengan rasa ringan mahupun berat. Berjihadlah dan teruskan.

Wallahua’lam.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat