Kes kematian, bunuh dalam kawasan sekolah perlu kepada tindakan yang berkesan bukan hanya menjawab persoalan kecil yang berkaitan dengan SOP keselamatan. Kes bunuh lebih kepada sahsiah pelajar yang semakin tenat. Dalaman pelajar semakin hancur dengan pelbagai pengaruh buruk.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membuka ruang kepada NGO Islam yang ada modul pembentukan akhlak pelajar. Jangan ego dengan kemampuan yang ada dalam KPM tetapi apa yang berlaku ialah kegagalan.
Di luar sana, ada NGO Islam yang mampu mentarbiah dan mendidik pelajar, maka beri peluang kepada mereka untuk memberi kepakaran yang ada dengan pemantauan KPM. Kejayaan program mereka telah terbukti, maka libatkan NGO Islam untuk mencari kaedah yang sesuai dalam menangani akhlak pelajar sekarang ini.
Jangan terlalu ego dengan kemampuan sendiri sehingga menutup pintu NGO Islam untuk bersama-sama mendampingi pelajar. Alasan CCTV tidak berfungsi, SOP keselamatan yang tidak dipatuhi itu bukan punca sebenar kes jenayah yang berlaku di sekolah. Tetapi, ada isu mendasar iaitu roh atau jiwa pelajar yang kosong dari didikan agama.
Kesilapan besar bila pendidikan agama dihitung dengan jam pembelajaran yang perlu dilalui oleh pelajar. Itu pelajaran agama atau ilmu agama bukan didikan agama. Didikan agama lebih besar dan luas daripada itu merangkumi ilmu agama yang berbentuk penulisan buku, usrah atau jilsah, latihan, kem-kem kerohanian, rehlah, jaulah, qiyam, riadah dan lain-lain lagi.
KPM perlu ambil tindakan segera, lakukan libat urus bersama-sama dengan komuniti, NGO Islam serta institusi yang ada kepakaran dalam pentarbiahan belia dan remaja. Kepakaran mereka amat berguna berganding dengan kepakaran yang ada dalam KPM. Apa salah nya jika kita berganding bahu membina generasi cemerlang demi bangsa, agama dan negara.
Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Penasihat Politik dan Perundangan ISMA


