Dunia hari ini tidak berada dalam keadaan biasa. Tetapi, sedang bergerak dalam arus yang semakin tegang dan tidak menentu.
Kita melihat Amerika Syarikat terus cuba mengekalkan dominasi, sementara China semakin berani mencabar keseimbangan kuasa. Konflik di Israel–Palestin tidak pernah benar-benar selesai, ketegangan melibatkan Iran sentiasa berlegar di ambang krisis. Belum lagi kita selak tabir krisis kebuluran di bumi Afrika, perang saudara, penindasan kaum minoriti dan sebagainya.
Pada masa yang sama, dunia berdepan tekanan ekonomi yang tidak stabil, jurang sosial yang semakin melebar, serta ancaman perubahan iklim yang nyata dan tidak boleh dinafikan lagi.
Ini adalah realiti dunia yang akan diwarisi oleh anak-anak lepasan SPM hari ini.
Keputusan SPM: Penting, tetapi bukan titik noktah kehidupan
Dalam dunia yang sedang dilanda pelbagai krisis ini, lepasan SPM baru sahaja menerima keputusan peperiksaan yang sering dianggap sebagai penentu hidup.
Bagi sebahagian besar pelajar, keputusan itu terasa seperti segala-galanya yang menentukan nilai diri, masa depan, dan arah kehidupan. Ada yang meraikannya, ada yang kecewa, dan ramai yang membandingkan diri dengan orang lain. Tetapi jika dilihat secara jujur dan matang, persepsi ini perlu diperbetulkan.
Keputusan SPM bukan penentu mutlak masa depan, apatah lagi penentu arah dunia. Ini hanyalah satu titik kecil dalam perjalanan yang jauh lebih besar. Masalah sebenar ialah apabila ramai berhenti berfikir di titik itu, seolah-olah kehidupan sudah ditentukan oleh beberapa huruf dan angka.
SPM membuka jalan hidup
Jika dilihat dengan lebih luas, sebenarnya ada hubungan yang sangat langsung antara keputusan SPM dengan dunia yang sedang bergolak ini, tetapi bukan pada gred semata-mata. Hubungan itu terletak pada apa yang dipilih selepas ini.
SPM hanyalah pintu masuk yang membuka atau menutup beberapa laluan, tetapi laluan mana yang dipilih, dan bagaimana diri dibentuk dalam laluan tersebut, itulah yang menentukan sama ada seseorang hanya menjadi sebahagian kecil dalam sistem atau individu yang mampu mempengaruhinya.
Dunia hari ini tidak kekurangan tenaga profesional, seperti doktor, jurutera, arkitek atau tenaga mahir. Tetapi, dunia kekurangan manusia yang mampu mengarah, membentuk dan menetapkan keputusan. Krisis global yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada kekurangan kepakaran teknikal, tetapi daripada siapa yang memegang kuasa membuat dasar dan bagaimana kuasa itu digunakan.
Bijak memilih bidang kerjaya
Apabila lepasan SPM memilih bidang ilmu, mereka sebenarnya sedang menentukan skala pengaruh masing-masing. Ada bidang yang impaknya terhad kepada pelaksanaan, dan ada bidang yang impaknya sampai ke tahap menentukan hala tuju masyarakat dan negara.
Seorang profesional boleh melaksanakan sesuatu projek dengan baik, tetapi seorang pembuat dasar menentukan projek apa yang wujud, siapa yang mendapat manfaat, dan ke mana arah pembangunan itu dibawa. Di sinilah bezanya skala peranan.
Tambahan pula, dunia hari ini bukan sekadar medan persaingan ekonomi atau ketenteraan, tetapi medan pertarungan nilai, ideologi dan cara hidup. Siapa yang mengawal naratif, undang-undang dan dasar, dialah yang sebenarnya mengawal arah dunia. Dalam konteks ini, lepasan SPM bukan terlalu kecil; mereka hanya belum berada di posisi yang membolehkan mereka memberi kesan yang besar.
Kerjaya biasa atau peranan strategik
Di sinilah perlunya satu anjakan pemikiran. Ramai pelajar membesar dengan anggapan bahawa kejayaan ialah menjadi doktor, jurutera, arkitek, polis, juruterbang atau profesion lain yang dihormati masyarakat. Semua ini sememangnya baik dan perlu, tetapi jika hanya berhenti pada fungsi pekerjaan, impaknya akan kekal terhad.
Seseorang akan menjadi sebahagian daripada sistem yang sedia ada, bukan pembentuk kepada sistem tersebut. Jika benar-benar mahu memberi kesan yang besar, lepasan SPM perlu berani melihat medan yang lebih strategik—bidang yang menentukan dasar, undang-undang, hubungan antarabangsa, ekonomi dan hala tuju negara. Di situlah keputusan-keputusan besar dibuat, dan di situlah arah dunia dibentuk.
Namun, memahami semua ini masih belum cukup jika hanya terhenti pada dimensi dunia. Sejarah telah menunjukkan bahawa kuasa, ilmu dan kedudukan tanpa asas yang betul hanya akan melahirkan kerosakan dalam skala yang lebih besar. Seseorang boleh menjadi profesional yang berjaya dan berpengaruh, tetapi tanpa panduan yang benar, dia mungkin hanya menjadi alat kepada sistem yang rosak.
Pendakwah: Agen perubahan sebenar
Oleh itu, di sebalik apa jua kerjaya duniawi yang dipilih, mesti ada satu lapisan yang lebih dalam iaitu peranan sebagai pendakwah. Bukan pendakwah dalam gambaran yang sempit, tetapi seorang yang mampu memahami manusia, membentuk pemikiran, dan membawa orang lain kembali kepada nilai yang benar. Seorang yang bukan sekadar berubah sendiri, tetapi mampu menggerakkan orang lain untuk turut berubah, lalu melahirkan rangkaian perubahan yang berterusan.
Peranan ini tidak memerlukan seseorang meninggalkan kerjaya dunia, tetapi menuntut pembinaan diri yang serius. Bermula dengan memperbetulkan tujuan hidup, memahami bahawa ilmu bukan sekadar alat untuk mencari rezeki tetapi untuk membina manusia dan masyarakat. Peranan ini juga menuntut penguasaan asas agama yang kukuh, bukan sekadar pengetahuan asas sahaja. Selain daripada itu, profesion ukhrawi ini memerlukan keupayaan berkomunikasi, mempengaruhi dan memimpin, kerana tanpa itu ilmu tidak akan sampai kepada orang lain. Hal ini menuntut keterlibatan dalam lingkungan yang membina, kerana perubahan besar tidak pernah berlaku secara bersendirian. Akhirnya, sikap berpandangan jauh, yakni melihat bukan sekadar pekerjaan pertama selepas belajar, tetapi kesan yang ingin ditinggalkan dalam tempoh puluhan tahun akan datang juga perlu.
Tujuan selepas SPM
Realitinya, keputusan SPM bukan penamat, dan bukan juga penentu mutlak. Tetapi, hanyalah satu pintu kecil kepada medan yang sangat besar. Dalam dunia yang sedang bergolak ini, kita tidak memerlukan lebih ramai individu yang sekadar menjalani rutin kehidupan.
Bahkan, memerlukan manusia yang mampu berfikir membentuk dasar dan membina sistem, seterusnya yang mampu menghubungkan kehidupan dunia dengan tujuan akhirat.
Jika ini difahami sejak awal, maka langkah yang diambil selepas SPM bukan sekadar untuk membina kerjaya, tetapi untuk membina peranan yang jauh lebih besar dalam menentukan arah manusia dan dunia.
Fakhruddin Afif Bin Fauzi
Ketua Media ISMA Cawangan Alor Setar


