Apa yang dapat kita perhatikan, setiap tahun ribuan pelajar melangkah masuk ke alam kampus, sama ada di universiti, kolej persediaan mahupun institusi pengajian di luar negara.
Bagi kebanyakan mereka, fasa ini terasa seperti satu permulaan baharu. Dunia baharu, suasana baharu, cabaran baharu, malah kelompok rakan yang serba baharu.
Namun, sebelum melangkah lebih jauh, satu persoalan wajar direnung oleh setiap mahasiswa baharu: adakah status sebagai “mahasiswa” sekadar label akademik, atau sebenarnya membawa amanah serta agenda yang jauh lebih besar daripada kepentingan diri sendiri?
Sejarah membuktikan bahawa gelaran mahasiswa bukan sekadar tentang lulus peperiksaan dan mengumpul kredit. Tetapi juga berkaitan dengan pembentukan jiwa yang dipertanggungjawabkan untuk berfikir, peka, cakna dan bergerak demi sesuatu yang lebih besar daripada kepentingan peribadi.
Justeru, buat setiap mahasiswa baharu yang kini sedang menyesuaikan diri dengan dunia kampus, inilah pesanan penting yang wajib difahami dan ditanam sejak awal lagi.
Kehadiran seseorang di menara gading bukan sekadar untuk mengejar segulung ijazah. Sebaliknya, merupakan satu amanah besar untuk menjadi agen perubahan, bakal pemimpin negara, kuasa moral masyarakat dan pengawal sosial dalam menghadapi cabaran zaman.
Mahasiswa sebagai Agen Perubahan
Mahasiswa merupakan kelompok dalam masyarakat yang memiliki kelebihan dari segi ilmu, pemikiran kritis dan tenaga muda, di samping berpotensi menjadi pemimpin serta pakar yang mampu mencetuskan perubahan.
Sejarah pembentukan banyak negara, termasuk perjuangan kemerdekaan di rantau ini, membuktikan bahawa golongan pelajar dan mahasiswa turut memainkan peranan dalam menyuarakan idea serta memperjuangkan keadilan. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa bukan sekadar penonton kepada perubahan, tetapi mampu menjadi pencetus kepada perubahan itu sendiri.
Justeru, setiap mahasiswa baharu perlu sedar bahawa ilmu yang bakal dipelajari bukan untuk disimpan semata-mata, tetapi untuk dikongsi dan dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat sekeliling.
Mahasiswa sebagai Aset Masa Depan
Mahasiswa juga merupakan aset masa depan bangsa (iron stock) dan tamadun. Mahasiswa hari ini ialah bakal pemimpin negara pada masa hadapan. Justeru, kepekaan sosial, tanggungjawab keilmuan dan semangat berkhidmat perlu dipupuk sejak di bangku kuliah lagi.
Proses pembentukan diri yang baik semasa di universiti akan menentukan kualiti kepimpinan negara pada masa akan datang.
Allah SWT berfirman mengenai keistimewaan golongan muda yang beriman:
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آَمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Maksudnya : Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.
(Surah al-Kahfi 18:13)
Malah, Allah SWT turut menzahirkan hikmah kepada hamba-Nya sejak usia muda, sebagaimana firman-Nya:
وَآَتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا
Maksudnya : Dan Kami berikan kepadanya hikmah pada usia kanak-kanak.
(Surah Maryam 19:12)
Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa usia muda bukan halangan untuk matang berfikir dan berbakti kepada ummah, selagi diisi dengan ilmu dan didikan yang betul, termasuk pembentukan corak pemikiran (mindset) serta pengaruh daripada lingkungan rakan yang baik.
Mahasiswa sebagai Kuasa Moral dan Pengawal Sosial
Hal yang lebih penting, mahasiswa hari ini turut mempunyai peranan sebagai kuasa moral dan pengawal sosial. Gerakan mahasiswa pada asasnya merupakan gerakan yang membawa suara moral dan kepedulian terhadap masyarakat, tanpa terikat kepada kepentingan peribadi atau kepentingan politik yang sempit. Dalam era ledakan maklumat dan media sosial hari ini, peranan ini menjadi semakin penting.
Mahasiswa berperanan menjaga nilai, budaya dan jati diri bangsa, termasuk mempertahankan warisan tamadun daripada terhakis akibat arus globalisasi, gejala sosial serta cabaran pemikiran yang semakin kompleks.
Dengan kekuatan moral dan integriti, mahasiswa mampu menjadi penyeimbang antara dunia akademik dengan realiti masyarakat. Mereka juga boleh memainkan peranan dalam memastikan sebarang penyelewengan atau ketidakadilan dibiarkan berterusan tanpa disuarakan melalui saluran yang sewajarnya.
Kampus sebagai Medan Pembentukan Diri
Oleh itu, buat setiap mahasiswa yang kini memulakan babak baharu dalam kehidupan, bangun dan sedarilah bahawa status ini bukan sekadar tentang diri sendiri. Tetapi, membawa amanah untuk menjadi agen perubahan, bakal pemimpin, kuasa moral dan pengawal sosial kepada masyarakat serta negara.
Dunia baharu, rakan baharu dan cabaran baharu yang bakal ditempuhi merupakan medan latihan untuk membentuk jiwa yang lebih matang, peka dan bertanggungjawab.
Maka, manfaatkanlah setiap detik di alam kampus dengan sebaik-baiknya. Segala pengalaman, cabaran dan kemelut yang ditempuhi akan menjadi sebahagian daripada proses pembentukan diri. Dari bilik kuliah inilah bakal lahir pemimpin yang akan mencorak masa depan negara, sekali gus mengemudi ummah ke arah kecemerlangan.
Demi Membina Mahasiswa Kepimpinan Nasional yang Unggul dan Terbilang.
Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)


