Alor Setar, 29 April – Majlis Sambutan Aidilfitri (SAFI) anjuran ISMA Alor Setar telah berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni bersama komuniti setempat di Teratak Pengajian Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa, Taman Uda.


Majlis ini turut mencatat detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Teratak Pengajian Ustaz Haji Abdul Fisol, sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh aktiviti pengajian serta pembinaan ilmu dalam kalangan masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat, diikuti dengan jamuan Aidilfitri yang menyatukan para hadirin dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Antara hidangan istimewa yang disediakan termasuk kambing, ketupat dan pelbagai juadah tradisi hari raya yang menyelerakan.


Dalam ucapannya, Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim, mengalu-alukan kehadiran komuniti sekitar serta memperkenalkan ISMA sebagai sebuah wadah yang komited dalam membina jati diri masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam dan semangat kebersamaan.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai medan mempererat ukhuwah antara ahli ISMA dan masyarakat setempat, selari dengan aspirasi untuk membina Ummah Fadhilah yang saling mengenali, bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain dalam kebaikan.

Semoga usaha sebegini terus diberkati dan menjadi pemangkin kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni dan berilmu.

