Oleh: Hawa Mahmood
KEMAMAN, 24 Ogos: Pada masa kini, ramai isteri yang bekerja bagi membantu suami.
Ini menjadikan kehidupan wanita tersebut menjadi sibuk.
Namun, dicelah-celah kesibukan itu, seorang wanita tetap mengalas tugas sebagai seorang isteri dan ibu.
Bebanan tugas yang semakin bertambah kadang-kala mengakibatkan seorang wanita itu menjadi stress.
Bagaimanakah cara untuk menguruskan stress agar tidak mengundang kepada kemurungan?
Persoalan ini dikupas oleh Ustazah Suriani Sudi, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, KUIS merangkap ketua wanita ISMA Malaysia dalam Seminar Wanita Islam (SERWANIS) dengan tema “Minda Sejahtera, Wanita Bahagia” yang berlangsung di Majlis Perbandaran Kemaman Sabtu lalu.
Seminar anjuran Wanita ISMA yang dihadiri hampir 130 peserta ini memberi pendedahan dan kefahaman berkaitan kesihatan mental serta kepentingan pengurusan kesihatan mental bagi membantu peningkatan kesihatan emosi.
Ustazah Suriani Sudi menyebut berberapa perkara penting berkenaan dengan pengurusan stress wanita, ini termasuk kepentingan mempunyai “Me-time”; iaitu masa bersendirian yang diperuntukkan untuk melakukan aktiviti yang disukai seperti melancong dan membeli belah.
Namun begitu, ustazah Suriani menegaskan bahawa “Me-time” yang paling penting adalah bersama Allah.
Sebagai contoh, mengambil sedikit masa sebelum subuh untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah.
Sebagai penutup, beliau menyimpulkan bahawa manusia akan sentiasa diuji, jadi kita haruslah sabar, tabah, dan kuatkan hubungan kita dengan Allah. Semoga kita dapat melepasi ujianNya.