Dalam kalendar Islam, Allah SWT telah mengkhususkan waktu-waktu tertentu yang sarat dengan kelebihan dan ganjaran rohani yang luar biasa. Antara bulan-bulan yang mempunyai banyak kelebihan di dalamnya ialah bulan-bulan haram, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Bulan-bulan ini dinamakan bulan yang haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan merupakan bulan yang suci. Hal ini bermaksud, Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Hal ini disebut di dalam sebuah hadis yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban”.
(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054)
Bulan-bulan yang ditetapkan oleh Allah SWT ini adalah sebagai bonus kepada hamba-Nya melipatgandakan amalan soleh. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini turut hadir bersama peringatan yang tegas, sebagaimana ganjaran pahala ditingkatkan, begitu juga dengan implikasi dosa dan maksiat yang akan menjadi lebih berat hukumannya di sisi Allah SWT. Perkara ini disebut di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:
فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ
“…maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalam bulan-bulan tersebut (bulan haram).”
(Surah At-Taubah 9:36)
Menerusi ayat ini, tokoh tafsir terkemuka, Ibnu Abbas RA, menjelaskan bahawa walaupun perbuatan maksiat pada bulan-bulan biasa sudah dikira sebagai dosa, melakukan kemaksiatan dalam bulan haram akan menyebabkan kadar dosa dan kezaliman tersebut menjadi berkali-kali ganda lebih besar di sisi Allah SWT.
Namun, jika manusia melaksanakan ketaatan dan kebajikan dalam bulan-bulan ini, mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang luar biasa besarnya berbanding bulan-bulan yang lain.
Oleh itu,umat islam digalakkan untuk menggandakan amalan dalam bulan-bulan ini antaranya:
1. Berpuasa Sunat
Melaksanakan puasa sunat Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Puasa Asyura (10 Muharram) yang menjanjikan fadhilat pengampunan dosa tahunan.
2. Memperbanyakkan Sedekah.
Menyumbang secara istiqamah walaupun dalam kuantiti yang kecil bagi mendapat pahala infak yang berlipat kali ganda.
3. Menjaga Lisan dan Memperbanyakkan Zikir.
Memperbanyak zikir, selawat, dan tadarus al-Quran, serta mengawal lisan daripada aktiviti mengumpat, memfitnah serta menahan diri dari menulis komentar negatif di platform media sosial.
4. Ibadah Haji dan Umrah
Mengisi bulan Zulkaedah dan Zulhijjah dengan kemuncak ibadah haji serta umrah bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal.
Kesimpulannya bulan haram merupakan manifestasi kasih sayang dan rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menetapkan semula (reset) kehidupan manusia yang penuh dengan kesibukan duniawi. Kegagalan memanfaatkan bulan-bulan ini merupakan satu kerugian yang sangat besar. Justeru, umat Islam diseru untuk meneliti kalendar Islam, menghentikan segala bentuk kelalaian, dan mula mengatur strategi ibadah demi memastikan diri tergolong dalam kalangan hamba yang bertakwa.
Ustazah Rodhiah binti Othman
Timb. Biro Tarbiah ISMA


