Meraikan emosi anak meraikan lebaran semasa wabak Covid-19

Assalamualaikum wrt wbt

Semoga kita semua terus bersemangat mengejar ibadah dalam hari-hari terakhir Ramadhan ini, walapupun tidak dapat berjemaah di masjid, tidak dapat beriktikaf, tidak dapat bergotong royong menyediakan bubur lambuk setiap hari.

Begitulah norma baru kehidupan kita dalam keadaan wabak covid-19 kali ini.
Tidak dapat dinafikan, merubah juga kemeriahan aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Anak rantau tak dapat pulan ke kampung
Tiada berkumpul beramai-ramai seluruh ahli keluarga
Tiada kesibukan masak memasak, memasang pelita dalam gelak tawa bersama-sama
Gambar keluarga besar melalui maya sahaja
Tiada konvoi ziarah dari rumah ke rumah
Tiada lagi rumah terbuka
Seolah-olah semua yang sedih-sedih saja.

Dalam kesedihan kita, sebenarnya yang lebih terkesan adalah kanak-kanak. Manakan tidak, waktu raya adalah waktu paling seronok bermain-main bersama saudara-mara, kawan-kawan dan jiran tetangga. Janji Allah hari raya sebagai hari kemenangan mereka yang berpuasa – pastilah kanak-kanak yang paling terasa.

Saya terpangggil untuk berkongsi kerana melihat sendiri emosi anak-anak saya bila diberitahu “tahun ni kita tak balik kampung ya.” Yang besar menangis kerana rindu kampung halaman. Yang kecil, baru tahun pertama puasa, memberontak kerana seolah-olah umi mungkir janji – Iyalah, dari awal tahun kita mempersiapkan dia utk berpuasa tahun ini, dengan janji, siapa puasa je boleh beraya dengan gembira di kampung.

(Saya tidak berkongsi tips untuk menyamput lebaran dalam suasana wabak Covid-19. Boleh rujuk beberapa tulisan & video rakan-rakan dalam bidang perubatan seperti I-Medik, bahkan di laman web rasmi KKM juga dikongsikan garis panduan yang perlu kita ikuti)

Sebagai ibu bapa, antara yang boleh kita lakukan untuk memastikan emosi anak-anak tidak larut dalam kesedihan dan kekecewaan:

1. Ibubapa sendiri mesti gembira.
Sudah tentu kita sendiri sebak dan sedih di dalam hati. Namun kita mesti kawal emosi tersebut supaya tidak mengganggu emosi anak-anak. Bagaimana kita nak melawan rasa sedih tu?
a. Fahami kenapa kita perlu patuh pada arahan kawalan pergerakan, fahami bagaimana Covid-19 dengan mudahnya boleh merebak
b. Yakinlah, ini hanya sementara, jika kita patuh pada arahan.
c. Rasa gembira kerana kita yakin ganjaran Allah untuk yang berpuasa
d. Kita masih berhari raya, cuma tatacara sedikit berbeza

2. Libatkan anak-anak dalam persediaan hari raya.
Kalau kebiasaannya kita sibuk menyiapkan rumah & juadah di kampung, lakukan hal yang sama di rumah. Ajak anak-anak turut sama mengemas dan menghias rumah. Minta pendapat mereka bagaimana kita nak hias rumah kali ini. Tanya mereka juadah yang sesuai untuk kita sediakan.

3. Pakaian baru untuk hari raya
Walaupun tahun ini kita berhari raya di rumah, tapi itu tak bermakna kita tidak boleh berbaju baru. Tunjukkan pada anak-anak pakaian yang akan dipakai pada tahun ini. Bandingkan dengan baju melayu / kurung yang kita kenakan pada tahun lepas. “tahun lepas kita pakai baju merah, tahun ni baju raya kita warna hijau pula.” Supaya menunjukkan, kita tetap beraya.

Jangan lupa penutup hidung dan mulut – pakaian seragam seluruh dunia ketika ini.

Menarik juga kalau dapat beli hand sanitizer baru yang comel-comel, utk diguna semasa hari raya. Ada baju raya, kuih raya, solat raya, dan “hand sanitizer” raya.

4. Panggilan video dengan ahli keluarga yang jauh
Anak-anak tentu rindu nak bermanja dengan datuk dan nenek, rindu nak berlari dengan sepupu-sepupu. Buatlah panggilan video, tunjukkan aktiviti yang dilakukan di rumah. Sebelum tu mungkin boleh pakat-pakat dengan adik-beradik kita, pastikan anak-anak buat aktiviti yang sama sebelum panggilan video. Sewaktu panggilan dibuat, tentu masing-masing seronok melihat hasil yang sama, seolah-olah mereka baru saja main bersama-sama.

Amaran keras – Jangan ibu dan ayah pula yang mengalir air mata ya.

5. Solat Aidilfitri dan takbir di hari raya
Mungkin nampak sunyi jika cuma bertakbir sekeluarga. Pasanglah TV atau radio takbir raya, dan bertakbir bersama-sama. Baru meriah.

6. Ziarah cara baru
Dah pakai baju raya, mestilah nak keluar beraya kan? Kalau tahun-tahun sebelum ini kita berziarah, makan-makan sampai kenyang, bersembang berjam-jam hingga penat. Kali ini, kita tukar kebiasaan.
Ajak anak-anak senaraikan rumah siapa (yang berdekatan) yang ingin ‘dikunjungi’. Lebih molek jika kita selitkan juga rumah guru-guru (yang berhampiran) kerana dah lama tak jumpa. Juadah hari raya yang telah dimasak bersama tadi, di letak dalam beberapa bekas & bungkusan. Ha, ajak anak-anak masuk kereta, kita pergi ke rumah-rumah yang telah disenaraikan tadi. Biasanya kita makan rumah orang, kali ni kita hantar makanan. Beri salam, ucapkan selamat hari raya & kemaafan, hulurkan juadah tadi. Nah, selesai kunjungan ke satu rumah. Boleh bergerak ke rumah lain pula.

Jangan lupa, pakai penutup hidung dan mulut (buka sekejap untuk tunjuk muka, andaikata tuan rumah tak cam muka), tiada sentuhan tangan, jarakkan sekurang-kurangnya 1 meter, dan pertemuan kurang 15 minit.

Dalam perjalanan, selitkan sedikit ibrah. Ceritakan tentang kebaikan orang yg diziarahi tadi, yakinkan ini masanya untuk kita mengeratkan silaturrahim dengan orang sekeliling kita.
Cukup 3-4 buah rumah sehari. Esok sambung lagi.

7. Tadabbur alam
Dah lama ‘berkurung’ di rumah dalam PKP, bawalah anak-anak bersiar-siar di dalam kereta dalam kelajuan rendah. Nikmati keindahan ciptaan indah Allah yang tidak terkira dan maha sempurna. Berbanding dengan satu ujian makhluk kecil yang kita tak dapat lihat bernama Coronavirus. Yakinkan mereka, Allah nak bagi kita pahala banyak pada kita.
Apa yang saya kongsikan adalah pendapat peribadi. Ibubapa lebih kenal anak-anak sendiri. Setiap keluarga mempunyai cara yang berbeza dalam meraikan Aidilfitri. Apapun mesti ingat, bersederhana dan berhati-hati, patuhi arahan pihak berkuasa. Jaga kebersihan, jaga jarak, elakkan kawasan tertutup dan sempit.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kullu ‘aam wa antum bi khair.

staysafe #stayathome #fightcovid19

Dr Ummu Harieza binti Abdul Aziz
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat, ISMA Kangar
Ahli I-Medik

Scroll to Top