Nabi Muhammad SAW Idola Sepanjang Zaman

Pada 12 Rabiul Awal, seluruh bumi dan isinya telah digemparkan dengan kelahiran satu susuk tubuh yang bakal mengubah sistem tadbir alam secara total. Dari penyembahan Taghut kepada penyembahan yang Maha Esa. Dari kehidupan nomad padang pasir yang gersang kepada pembukaan kota empayar yang mentadbir dua pertiga dunia.

Dari sistem kapitalis golongan elit kepada keadilan secara total mengikut neraca sistem syariat islam. Baginda membesar tanpa mengenal erti kasih seorang bapa tetapi menjadi bapa kepada seluruh umat manusia. Menjadi pendamping anak-anak yatim dan juga fakir miskin. Baginda juga menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang ilmu. Seorang yang amat dikasihi oleh sahabat-sahabatnya melebihi diri mereka sendiri. 

Baginda juga adalah seorang tokoh dan wira yang kita perlu tanam dan semai di dalam jiwa. Ya, ada yang mengatakan empayar yang di bina beliau sudah melebihi 1400 tahun lamanya dan adakah metode dan sistem yang digunakan sesuai dengan peredaran masa?.

Jawapannya “Ya”, kerana sistem pentadbiran yang dibina oleh beliau adalah sistem pentadbiran total yang dibuat oleh Allah yang Maha Esa. Manusia kini banyak berpandu kepada tulisan-tulisan sistem barat yang mentadbir hanya cantik di atas kertas. Hal ini disebabkan mereka menutup segala kejahatan mereka dengan hiasan dunia yang indah dan megah seperti menara pencakar langit yang megah, teknologi yang canggih dan kehidupan yang mewah yang hanya menumpukan kepada kepetingan zahiriah dan meninggalkan aspek batiniyah.

Firman Allah menyebut dalam Surah al-Hijr ayat 39:
قَالَ رَبِّ بِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَرْضِ وَلَاُغْوِيَنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَۙ
Maksudnya, Iblis berkata: “ Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnyya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan semuanya.

Maka atas dasar untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan yang telah disumpah oleh Iblis kepada Allah, Baginda menjadi penyelamat kepada umat manusia seluruhnya. Kisah di Mekah juga menjadikan pengajaran yang besar kepada kita dimana penolakan dakwah islamiyah oleh pembesar-pembesar Quraish adalah disebabkan status dan kuasa yang bakal mereka gadaikan kerana penerimaan Islam sebagai agama mereka.

Bayangkan umat Nabi Muhammad sangat bertuah kerana Baginda sangat mencintai umatnya. Seperti  yang dinukilkan dalam kisah dakwah baginda di Kota Taif yang terletak 90 km dari Kota Mekah. Kedatangan baginda tidak disambut dengan bunga, karpet merah dan kemewah.

Bahkan beliau telah dicerca, dimaki dan lebih parah dilempar dengan batu yang menyebabkan darah terus mengalir sehingga ke kasut Baginda, lalu datang malaikat Jibril menawarkan untuk diterbalikkan kota tersebut. Atas dasar cinta kepada umat yang terpilih, Baginda bersabar dan menolak tawaran Jibril.

Janganlah kita jadikan cinta pada Baginda hanya bermusim kerana cinta abadi tidak pernah bermusim.

Ustaz Shuhaib bin Kamaruddin
Setiausaha Biro Pemuda ISMA Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat