Arus pemodenan hari ini bukan sahaja membawa kemajuan sains dan teknologi, malah turut membuka ruang kepada penyebaran pelbagai aliran pemikiran asing dan sesat yang menyusup masuk secara senyap ke dalam jiwa umat Islam.
Antara ancaman moden yang kian membimbangkan kita pada hari ini adalah New Age Movement (Gerakan Zaman Baru) sebuah fahaman global yang sering kali menyamar di sebalik topeng motivasi diri, meditasi alternatif, penyembuhan holistik, dan teknik kesedaran minda (mindfulness).
Biarpun kelihatannya moden dan menenangkan, di sebalik bungkusan menarik ini tersorok racun akidah yang secara halus merosakkan asas tauhid seorang Muslim dengan mencampuradukkan pelbagai unsur agama dan falsafah sesat.
Inti pati utama ajaran ‘New Age Movement’ adalah bertitik tolak daripada fahaman pluralisme agama, humanisme ekstrem, dan konsep panteisme (menyifatkan alam dan Tuhan adalah satu).
Mereka sering mengagungkan tenaga kosmik semesta, kepercayaan bahawa setiap individu adalah “tuhan” pada diri sendiri, serta menolak konsep mutlak syariat Islam.
Konsep-konsep seperti Law of Attraction (Hukum Tarikan) yang diselewengkan, penyertaan dalam ritual tenaga batin tanpa panduan syarak, dan kepercayaan kepada reinkarnasi secara tidak langsung memesongkan pergantungan mutlak seorang mukmin daripada Allah SWT kepada makhluk atau tenaga alam yang batil.
Bahaya fahaman ini turut ditegah dengan tegas melalui panduan al-Quran yang menuntut umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada jalan yang benar dan tidak terpesong mengikut lorong-lorong kesesatan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, ayat 153:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَوَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّ تَتَّقُونَ
Maksudnya : “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan itu menceraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-An’am 6 :153)
Selain ancaman al-Quran, Rasulullah SAW juga telah memperingatkan umat baginda sejak berzaman lagi tentang bahayanya budaya meniru atau terikut-ikut dengan cara hidup serta pemikiran golongan luar yang bertentangan dengan Islam.
Sabda Baginda SAW dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim:
Maksudnya : “Laluan (cara hidup) umat-umat sebelum kamu akan kamu ikuti sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, nescaya kamu akan mengikutinya.”
Kesimpulannya, umat Islam hari ini perlu meningkatkan kewaspadaan yang tinggi terhadap penularan dakyah ‘New Age Movement’ yang berselindung di sebalik trend kemodenan dan gaya hidup sihat.
Penapisan ilmu secara teliti dan berpandukan ulama akli serta naqli yang muktabar adalah benteng pertahanan terbaik agar hati tidak mudah terpesong.
Kita harus sedar bahawa keselamatan akidah adalah harta paling berharga di dunia dan akhirat, justeru keteguhan tauhid kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW adalah komitmen yang tidak boleh adanya tawar-menawar lagi.
Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit
YDP ISMA Cawangan Sandakan


