Normalisasi budaya yang membinasakan

Tunggu dulu…
Apakah rasionalnya anda, seorang Muslim untuk menyambut Hari Valentine? Hari yang dikenali sebagai hari memperingati kekasih ini tiada kaitan sama sekali dengan agama dan budaya ketimuran kita. Adakah disebabkan untuk menghargai orang tersayang pada hari yang istimewa? Kenapa pula ia istimewa buat anda? Adakah tiada hari lain yang boleh anda raikan?

Nah, biarkan soalan-soalan ini berlegar di kepala sehingga dapat menyentak kesedaran kita semua untuk kembali ke pangkal jalan.

Tuan-tuan dan puan-puan, saban hari kita dipertontonkan dengan berita- berita dan isu semasa yang sangat menjelikkan. Gejala sosial yang berleluasa pada hari ini sudah tidak seperti dahulu. Pernah dengar tentang aplikasi Sugarb***? Sebuah aplikasi yang menawarkan khidmat peneman buat warga VVIP. Ia terang-terangan mempromosi satu perbuatan maksiat dan menggalakkan pergaulan bebas.

Kemudian, cuba-cubalah anda jenguk Instagram atau Tik Tok anak-anak muda yang galak mempamerkan budaya ‘bercouple’ sebagai trend semasa. Bukan biasa-biasa likes dan follower mereka ya… Malah merekalah yang mungkin menjadi idola dan ikutan generasi muda pada hari ini.

Itu sedikit gambaran apa yang berlaku pada zaman ini tanpa menyentuh isu pembuangan bayi, kes hamil luar nikah, kemurungan dan bunuh diri. Ini bukan sesuatu yang perlu kita pandang sepi tuan-tuan puan-puan.

Jadi mengapakah kita masih berasa bahawa isu menyambut Hari Valentine dalam kalangan umat Islam ini adalah isu remeh? Lambakan masalah pada generasi kini adalah kerana kita lebih banyak berdiam diri daripada mencegah perkara-perkara kemungkaran tersebut. Sedangkan ia saling berkaitan antara satu sama lain. Jika kita tidak menunjukkan kebencian kita pada kemaksiatan, anak-anak muda kita mungkin akan mula menormalisasikan perbuatan tersebut dengan anggapan bahawa perbuatan tersebut adalah perkara yang tidak salah.

Sekarang cuba bayangkan wajah anak-anak atau adik-adik kita…
Sanggupkah kita biarkan mereka hanyut perlahan-lahan kerana kealpaan kita untuk merasakan bahaya yang mendatang.

Zaman kini zaman yang penuh tipu daya yang maha dasyat. Musuh datang dalam bentuk yang tak terjangkakan. Andai kita tak mahu melihat kebobrokan itu berlaku di depan mata kita, maka janganlah lagi memandang enteng pada kemaksiatan hatta sekecil apapun.

Semoga sama-sama kita menolak sebarang agenda yang menormalisasikan kemaksiatan dengan menjadi masyarakat yang prihatin. Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan yang licik.
InsyaAllah walau selicik manapun perancangan keji mereka yang memusuhi Islam, hakikatnya dunia ini adalah untuk orang-orang yang bertaqwa…

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa..” (Ali Imran:133).

 

Dr. Noor Tahira Abdul Karim
Ketua Wanita ISMA Alor Setar

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat