PEMANDU MABUK YANG MENYEBABKAN KEMATIAN SEPATUTNYA BOLEH DIHUKUM MATI

1. Hukuman bagi peminum arak dalam syariah adalah 40 kali sebatan. Itu adalah pengamalan Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA ketika pemerintahannya. Apabila tiba zaman Umar Al-Khattab RA, beliau menambahkan hukuman kepada 80 kali sebatan. Saidina Ali RA mengikut sunnah yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab dalam pemerintahannya.

2. Para ulamak sepakat bahawa hukuman hudud tidak boleh ditambah kerana ia sudah tetap dan tidak boleh diubah. Adapun apa yang dilakukan oleh Umar RA adalah penambahan lagi 40 sebatan, ia sebagai bentuk hukuman takzir yang diberikan autoriti dalam penentuannya kepada pemerintah.

Saidina Ali berkata : “Apabila seseorang itu mabuk, ia akan merapu, apabila ia merapu ia akan berdusta (ke atas maruah seseorang – yakni menuduhnya berzina) dan hukuman bagi orang yang menuduh seseorang berzina adalah 80 sebatan”.

3. Tindakan Umar Al-Khattab RA sangat jelas dalam mencapai maslahat syarak iaitu menutup pintu-pintu kerosakan yang ada. Beliau memang dikenali sebagai antara yang mula memperkasakan konsep ‘maslahah mursalah’ (yakni maslahah yang tidak spesifik disebut dalam Al-Quran & Sunnah) dalam pemerintahannya seperti gaji para pegawai, penjara dan pengumpulan Al-Quran.

4. Situasi di negara pada hari ini sepatutnya mengambil kira apa yang telah dilakukan pada zaman Umar RA, dari sudut penggandaan hukuman bagi peminum arak. Walaupun hukuman yang diperuntukkan sedia ada mungkin dikira berat bagi sesetengah pihak, tapi pada hakikatnya ia menzalimi pihak yang dianiaya seperti keluarga si mati yang terbunuh akibat dilanggar pemandu mabuk.

5. Kita patut melihat ia sebagai fenomena yang buruk yang patut disekat. Kes langgar disebabkan mabuk semakin menjadi-jadi. Peruntukan yang ada hakikatnya tidak dapat benar-benar membendung gejala yang ada. Sepatutnya kerajaan boleh menetapkan suatu hukuman yang lebih berat seperti hukuman mati, seperti yang dikenakan kepada pengedar dadah, dan sebelum ini pernah dicadangkan hukuman mati kepada orang yang membuang bayi atas sebab sengaja menyebabkan kematian.

6. Pemabuk yang meminum arak lalu melanggar hingga menyebabkan kematian tidak boleh dikira tidak sengaja seratus peratus. Ia hakikatnya sengaja kerana dia dengan pilihannya meminum arak dan dengan pilihannya sendiri juga ingin mabuk dengan arak tersebut. Tiada siapa yang mahu minum arak untuk hilangkan kehausan. Dia sepatutnya bertanggungjawab terhadap nyawa yang hilang akibat perbuatannya, dan sewajarnya dibalas sesuai dengan perbuatannya dalam mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa orang lain.

7. Walaupun pelaksanaan undang-undang yang ketat mungkin boleh mengawal sedikit sebanyak gejala yang tidak sihat ini. Hakikatnya selagi kita masih boleh bertoleransi dengan ‘budaya arak’ ini dalam negara, kita tetap tidak akan selamat.

Namun kita harus bermula dari sini, agar para pembuat dasar negara sedar bagaimana ia patut bertindak.

Wallahua’lam.

Ustaz Syamil Esa 
Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat