Keprihatinan tidak berbelah bahagi oleh beberapa menteri terhadap isu pencerobohan kuil ke atas tanah awam dan persendirian menunjukkan suatu komitmen luar biasa dalam menjustifikasi kesalahan jenayah tersebut. Apalah yang beria sangat menegakkan kesalahan ini? Sedangkan jelas hal ini terkait dengan pencerobohan tanah dan pelanggaran undang-undang.
Kita semua maklum, pencerobohan tanah ini bukanlah pertama kali berlaku. Di Selangor, sebanyak 773 kuil yang dibina secara haram telah direkodkan dalam persidangan DUN Selangor pada 2022. Jadi, tidak mustahil, angka kuil seumpamanya bertambah sehingga tahun 2026.
Terbaharu, kes pencerobohan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Malah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah mengesahkan pencerobohan tersebut benar dan telah mengambil tindakan.
Dalam pada itu, mengikut undang-undang, sesebuah rumah ibadat hanya boleh didirikan setelah mendapat keizinan Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Tetapi malangnya, binaan yang dibuat tidak mengikut prosedur yang sah. Bahkan ada binaan yang jelas mengganggu lalu lintas dan fasiliti awam.
Cuba lihat di Jalan Meru, lencongan terpaksa dibuat kerana wujudnya kuil dan tokong haram. Tindakan ini jelas meletakkan pengguna jalan raya dalam keadaan bahaya. Persoalannya, mengapa tidak diruntuhkan binaan itu? Sedangkan jelas binaan itu mengganggu lalu lintas dan dibina tanpa mendapat kelulusan. Apakah tiada yang berkuasa dalam hal ini? Sampai bila akan terus menerus meletakkan kesalahan pada orang lain?
Orang ramai dan kumpulan NGO telah banyak kali mendesak pihak berkuasa supaya bertindak. Jadi pihak berkuasa, gunakanlah kuasa dan undang-undang yang ada untuk menyelesaikan masalah ini. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan sewajarnya dalam kes ini.
Pada masa yang sama, ahli-ahli politik, ambil tanggungjawab untuk terangkan kepada kaum anda, hal ini berkait lunas undang-undang dan pencerobohan tanah, bukan melibatkan kebencian agama atau kaum. Jangan jadikan isu ini untuk menunggang kaum anda, lalu membakar api perkauman.
Buat mana-mana pihak yang telah terlanjur menceroboh tanah orang, anda sepatutnya malu, bukannya menyombong dan berselindung di sebalik benteng keagamaan. Usahlah memalukan diri lagi dengan cuba menegakkan perkara yang salah. Jangan tegakkan benang yang basah!
Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar jumlah rumah ibadat di negara ini dibina sesuai dengan jumlah penganut agamanya. Peruntukan keluasan tanah bagi tujuan sama juga harus sepadan.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa harus bertindak tegas berlandaskan lunas undang-undang. Jika peniaga yang membuka gerai-gerai haram mampu disodok, ditekan dan dihalau keluar, mengapa tidak dalam isu ini?
Kadang-kadang bila difikir dan direnung, mungkin benar penduduk negara ini sangat bertolak ansur sehingga ditolak penceroboh tanah secara beransur-ansur.
Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min
Naib Presiden ISMA (Ketua Pemuda)


