PEMUDA ISMA Seru Larangan Penjualan Arak Diperluaskan Ke Seluruh Negara

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengumumkan bahawa bermula Oktober 2021, tiada lagi arak akan dijual di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Khabar gembira ini disambut baik oleh semua rakyat Malaysia yang sebelumnya resah dengan kes langgar mati oleh pemandu mabuk saban hari.

Ini berikutan kes berkaitan pemandu mabuk di negara ini dilihat amat serius susulan terdapat pola peningkatan kes ketara yang membimbangkan bagi tempoh tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini sahaja.
(Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani).

Seperti yang dijangka, Persatuan Penjual Minuman Keras menentang keras pengumuman tersebut dengan berhujah kutipan cukai negara akan berkurangan.

Namun, amat mustahak pihak persatuan tersebut mengakui hakikat bahawa mudarat penjualan arak secara berleluasa dengan melihat kepada peningkatan jumlah kes kematian dan penderaan di rumah.

Atas segala mudarat arak yang berlaku, tidak pula kedengaran persatuan itu membantu atau menyumbang semula kepada yang terkesan akibat bahana arak.

Buat pengetahuan semua, mengikut Seksyen 25, Enakmen 2 Kanun Jenayah Syariah 1985
Bahagian II – Kesalahan-kesalahan.

Minuman yang memabukkan:
(1) Sesiapa yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atau suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali.

(2) Sesiapa yang membuat, menjual, mempamirkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kebanyakan pekerja kedai runcit dan serbaneka ialah pekerja muslim. Maknanya mereka boleh disabitkan atas akta syariah tersebut sekiranya terlibat dalam penjualan arak.

Lebih mengejutkan, jika diteliti peraturan pihak berkuasa tempatan, ada akta yang meletakkan syarat premis yang menjual minuman keras hendaklah melebihi jarak 200 meter dari kawasan perumahan, sekolah dan surau masjid.

Namun, kebanyakan kedai runcit dan serbaneka terletak betul-betul dalam kawasan perumahan!
Malah sebahagian besar meletakkan arak dalam satu peti sejuk yang sama sedangkan sepatutnya mereka wajib asingkan dan letak arak tersebut di bahagian belakang premis.

Sebenarnya banyak undang-undang yang menjaga kita dari bahana arak tetapi sekali lagi atas asbab kurangnya penguatkuasaan undang-undang, maka penjual arak yang tak kenal halal haram ini terus menerus melanggar undang-undang sedia ada.

Justeru itu, kami di PEMUDA ISMA menyeru kepada pihak kerajaan supaya meluaskan larangan penjualan arak ini ke seluruh Malaysia. Kami juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bencikan arak ini supaya melaporkan kepada pihak berwajib atas kesalahan penjualan arak ini.

Ini sekaligus akan menyumbang kepada berkurangnya peminum arak dan akhirnya tidaklah lagi kedengaran kes langgar mati oleh pemandu mabuk.

Soufi Anual
JK Gerakan Massa
Pemuda ISMA
(Ikatan Muslimin Malaysia)
PEMUDA MERDEKA
19 November 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat