Beberapa hari lagi, kita bakal bertemu Ramadan, bulan yang ditunggu dan dirindu oleh mereka yang bertakwa. Ramadan merupakan bulan pesta ibadah dan medan melatih jiwa untuk meningkatkan ketakwaan melalui puasa, solat tarawih, qiamullail dan tadarus al-Quran. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, bahkan bulan untuk menjaga lidah dan hati daripada perkara mungkar, mensucikan jiwa serta merebut peluang mengejar Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir.
Sejarah Islam turut mencatatkan bahawa Ramadan adalah bulan penuh kemuliaan dan kekuatan. Beberapa peristiwa besar seperti Perang Badar berlaku dalam bulan ini, membuktikan bahawa Ramadan bukan bulan kelemahan, tetapi bulan membina semangat jihad dan kesatuan ummah.
Ramadan Tetamu Agung
Ramadan adalah tetamu agung yang dinantikan oleh setiap jiwa beriman. Hadirnya membawa rahmat, keampunan dan peluang besar untuk kita kembali mendekatkan diri kepada Allah. Namun, tidak seharusnya kehadiran Ramadan disambut secara sambil lewa tanpa persediaan. Seperti menyambut tetamu istimewa, Ramadan perlu diraikan dengan persiapan rapi – terutama oleh seorang ibu yang merupakan nadi penggerak sesebuah keluarga.
Dalam sesebuah rumah tangga, ibu memainkan peranan penting sebagai perancang suasana dan pembentuk budaya keluarga. Jika seorang ibu bersedia menyambut Ramadan dengan ilmu dan kesedaran, seluruh ahli keluarga akan turut merasai kehangatan bulan mulia ini. Antara persediaan yang boleh dilakukan seperti :
1. Membina Kefahaman Tentang Ramadan
Langkah pertama dalam persediaan menyambut Ramadan ialah mempersiapkan diri dengan ilmu. Seorang ibu perlu memahami kembali tujuan sebenar berpuasa, hukum-hakam berkaitan Ramadan serta kelebihan amalan di dalamnya. Kefahaman ini kemudiannya perlu disampaikan kepada anak-anak mengikut tahap usia mereka.
Anak-anak tidak sepatutnya melihat Ramadan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Mereka perlu dididik bahawa Ramadan adalah bulan latihan jiwa, bulan al-Quran dan bulan memperbaiki akhlak. Dengan kefahaman yang betul, ibadah puasa akan menjadi lebih bermakna dan dihayati.
2. Persediaan Rohani Sebelum Ramadan
Ramadan tidak seharusnya bermula hanya pada hari pertama berpuasa. Sebaliknya, persediaan rohani wajar dimulakan lebih awal. Ibu boleh mengajak ahli keluarga meningkatkan amalan sedikit demi sedikit – memperbanyak istighfar, membaca al-Quran, menjaga solat berjemaah dan mengurangkan perkara yang melalaikan.
Latihan rohani ini ibarat “memanaskan enjin iman” agar apabila Ramadan tiba, hati telah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam ibadah. Rumah tangga yang dibiasakan dengan suasana zikir dan al-Quran sebelum Ramadan akan lebih mudah menghidupkan malam-malamnya nanti.
3. Mengurus Emosi dan Mental Keluarga
Ramadan menuntut kesabaran. Perubahan jadual makan, waktu tidur dan rutin harian kadangkala boleh menimbulkan keletihan jika tidak diurus dengan baik. Di sinilah peranan ibu dalam membina emosi positif dalam keluarga.
Anak-anak perlu difahamkan bahawa keletihan berpuasa adalah sebahagian daripada tarbiah. Ibu boleh menanamkan semangat bahawa Ramadan adalah bulan kegembiraan orang beriman, bukannya bulan bebanan. Apabila suasana rumah dipenuhi dorongan dan kasih sayang, setiap ahli keluarga akan lebih bersemangat melaksanakan ibadah.
Selain itu, ibu juga boleh berkongsi kisah-kisah sejarah Islam yang berlaku dalam bulan Ramadan bagi membangkitkan semangat anak-anak. Antaranya:
· Perang Badar al-Kubra (17 Ramadan 2H) – Kemenangan berpihak kepada umat Islam walaupun hanya berjumlah 313 orang menentang 1,000 musyrikin. Ini membuktikan bahawa keimanan dan pertolongan Allah melebihi kekuatan material.
· Pembukaan Kota Mekah (20 Ramadan 8H) – Peristiwa bersejarah yang membebaskan Makkah tanpa pertumpahan darah besar, menggambarkan kebijaksanaan strategi, kesabaran dan sifat pemaaf Rasulullah SAW.
· Pembukaan Andalusia (28 Ramadan 92H) – Dipimpin oleh Tariq bin Ziyad, memperlihatkan keberanian dan keyakinan yang membawa kepada perluasan syiar Islam.
· Perang Ain Jalut (25 Ramadan 658H) – Tentera Islam menewaskan Empayar Mongol, membuktikan bahawa berpuasa tidak menghalang umat Islam mempertahankan agama dan maruah.
Semua peristiwa ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan bulan kelemahan, sebaliknya bulan yang melahirkan kekuatan, keberanian dan kemenangan di sisi Allah.
4. Persediaan Fizikal dan Kesihatan
Selain rohani, aspek fizikal juga tidak boleh diabaikan. Ibu boleh mula merancang menu sahur dan berbuka yang lebih sihat, mengurangkan pembaziran serta mengatur waktu rehat yang mencukupi untuk anak-anak.
Namun, antara kesilapan utama dalam menyambut Ramadan hari ini ialah menjadikannya sebagai bulan pesta makanan. Pembaziran berlaku apabila nafsu makan tidak terkawal, ditambah dengan sikap membeli juadah secara berlebihan di bazar Ramadan atau bufet hotel. Keadaan ini jelas bertentangan dengan tujuan puasa untuk mendidik jiwa, memupuk takwa dan melatih kawalan diri.
Amalan membeli terlalu banyak juadah sehingga dibuang, makan berlebihan ketika berbuka, serta terlalu fokus kepada promosi makanan menyebabkan nilai sebenar Ramadan semakin terpinggir. Akibatnya, perhatian terhadap ibadah berkurang dan matlamat rohani puasa tidak tercapai. Ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik kita menghargai rezeki, bersederhana dalam makan serta menjauhi pembaziran.
Latihan bangun awal sebelum masuk Ramadan juga sangat membantu agar anak-anak tidak terlalu terkejut dengan perubahan rutin. Persediaan kecil seperti ini akan memudahkan seluruh keluarga menjalani ibadah puasa dengan lebih teratur dan bertenaga.
5. Pengurusan Rumah Tangga yang Lebih Terancang
Antara cabaran besar seorang ibu pada bulan Ramadan ialah pengurusan masa dan kerja rumah. Tanpa perancangan, Ramadan boleh berlalu hanya sebagai bulan memasak dan menyediakan juadah semata-mata.
Justeru itu, ibu disarankan merancang lebih awal – menyediakan jadual memasak, membeli keperluan dapur sebelum Ramadan serta membahagikan tugas rumah kepada setiap ahli keluarga. Dengan pengurusan yang baik, ibu juga berpeluang memperbanyakkan ibadah tanpa merasa terlalu terbeban.
6. Menetapkan Sasaran Ibadah Keluarga
Ramadan akan lebih bermakna jika diraikan dengan matlamat yang jelas. Ibu boleh mengajak keluarga menetapkan sasaran bersama seperti khatam al-Quran, solat tarawih berjemaah, mengurangkan masa dengan gajet atau memperbanyakkan sedekah.
Apabila sasaran ini dibuat secara kolektif, setiap ahli keluarga akan saling menyokong dan mengingatkan. Ramadan bukan lagi ibadah individu semata-mata, tetapi menjadi projek ketaatan seisi rumah.
7. Mendidik Anak Mencintai Ramadan
Mendidik anak mencintai Ramadan bukan sekadar melatih mereka berpuasa, tetapi membentuk pengalaman indah yang akan mereka ingati sepanjang hayat. Jika kita mahu mereka membesar dengan rasa cinta terhadap bulan ini, kita perlu menjadikan Ramadan sesuatu yang dirindui, bukan sekadar rutin tahunan.
Wujudkan suasana Ramadan yang istimewa di rumah. Hias sudut ibadah, adakan ruang khas membaca al-Quran atau solat berjemaah. Tanamkan semangat berlumba-lumba melakukan kebaikan melalui “Cabaran Ramadan” seperti carta tadarus, tabung sedekah atau jadual amalan harian. Jadikan ibadah sebagai keseronokan, bukan paksaan. Libatkan anak-anak dalam aktiviti seperti solat berjemaah, tadarus bersama dan menghadiri solat tarawih di masjid. Suasana masjid yang meriah akan menanamkan rasa cinta terhadap Ramadan dalam jiwa mereka.
Hakikatnya, kejayaan Ramadan dalam sesebuah keluarga banyak bergantung kepada persediaan dan peranan seorang ibu. Ibulah yang mencorakkan suasana, menghidupkan ruh ibadah dan menggerakkan seluruh ahli keluarga menuju Allah.
Semoga setiap ibu diberi kekuatan untuk memimpin keluarganya menyambut Ramadan dengan penuh keimanan dan kegembiraan. Moga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk melahirkan keluarga yang lebih dekat dengan al-Quran, lebih subur dengan amal soleh dan lebih erat dengan kasih sayang.
“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadan dan jadikanlah kami hamba-Mu yang lebih bertaqwa.”
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA


