Rawat Masalah Kecil Rumahtangga, Jangan Biar Sampai Runtuh.

Mahligai perkahwinan tidak dibina dalam sehari. Ia lahir dari waktu, pengorbanan, dan kesetiaan. Begitu juga, ia tidak akan musnah dalam sekelip mata. Perkahwinan yang retak bermula dari retakan kecil, yang mungkin dipandang ringan — seperti membiarkan pintu-pintu fitnah terbuka, mengabaikan nafkah, atau mengambil mudah akan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Ibarat tubuh yang sihat, apabila ia dihinggapi penyakit ringan, harus segera dicari penawar. Jika dibiarkan penyakit terus berlarutan tanpa usaha merawatnya, ia mungkin boleh merebak menjadi sesuatu yang lebih serius, hingga akhirnya tubuh itu rebah dalam sakit yang lebih kritikal.

Begitulah juga dengan mahligai perkahwinan. Bila kasih mula teruji, bila amanah mula diabaikan, harus segera ada tindakan. Jangan biarkan masalah kecil merosakkan mahligai yang dibina. Jika sebuah perkahwinan diibaratkan seperti pesakit dalam keadaan ‘asystole’, di mana nadi sudah tiada dan nyawa di hujung tanduk, usaha yang luar biasa diperlukan.

Para doktor dan pasukan kesihatan akan bertungkus lumus melakukan CPR, meminta bantuan dan kerjasama pelbagai pasukan untuk membantu menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka tidak sekadar memberi ubat demam atau memberi rawatan seperti merawat penyakit ringan; mereka lakukan intervensi yang besar, kerana mereka tahu nyawa itu terlalu berharga untuk dibiarkan pergi tanpa berjuang.

Demikian juga apabila menyelamatkan sebuah mahligai perkahwinan. Perlu berjuang habis-habisan, melibatkan pelbagai usaha, dari kerjasama, kaunseling hingga doa yang tidak pernah putus, memohon pertolongan Allah agar menyelamatkan nadi perkahwinan yang kian hilang.

Namun, jangan kerana ego,sebuah mahligai dibiarkan runtuh. Ego sering menjadi tembok yang menghalang manusia dari saling memaafkan, dari berbicara dengan hati yang tulus. Kadang-kadang, demi menyelamatkan perkahwinan, perlu adanya kerendahan diri, belajar untuk memberi dan menerima, kerana mahligai yang dibina bersama lebih berharga daripada sekadar mempertahankan rasa benar sendiri.

Apabila segala usaha telah dilakukan dan takdir tetap berkata “cukup sampai di sini,” harus belajar menyerah dan menerima, bahawa mungkin ajalnya telah tiba. Tetapi setidaknya, 100% usaha telah diberikan untuk menyelamatkannya.

Kerana dalam kehidupan ini, hasil itu yang yang kedua, yang Allah lihat adalah usaha yang ikhlas dan kesungguhan yang diberikan sepanjang perjalanan.

Siti Sarah Amran
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat