Sajak Maulidurrasul: Dirimu Rasulullah, inspirasi berharga untuk kami terus melangkah

Ya Rasulullah,

Salam hormat yang tertinggi buatmu Rasul kami,

Anak terpuji dari keturunan bangsawan terhormat,

Lahir dari akar kenabian yang mulia Ismail dan Ibrahim,

Diputerakan 12 Rabiulawwal di Subuh yang penuh bersejarah,

Setelah 570 tahun saudaramu Isa Alaihissalam diangkat Allah,

Ke suatu tempat mulia yang menjadi rahsia.

 

Demi amanah Allah engkau berjuang dengan keringat dan darah,

Engkau tidak mendapat habuan dunia melainkan cercaan dan hinaan kuffar,

Adakah engkau kisah? Engkau tidak kisah kerana engkau ada Allah,

Kesakitanmu, tekanan yang diterima hanya dirimu dan Tuhanmu yang tahu,

Cercaan dan hinaan asam garam perjuangan dakwahmu,

Mengapa engkau sanggup mengharunginya?

Tindakanmu buatkan kami terharu,

Kerana kamikah engkau harungi semua ini?

Kerana kamikah engkau disakiti?

Kerana kamikah engkau diburu?

Sungguh kami terhutang budi dengan pengorbananmu.

 

Tiada yang kami kenal manusia lain yang setabahmu,

Tiada yang kami kenal seorang manusia yang ditakuti kuffar,

Walaupun telah wafat ribuan tahun yang lalu,

Mereka takut hidayah yang engkau bawa memenuhi dunia moden,

Lantas ideologi ciptaan mereka tak laku lagi,

Lalu mereka menghinamu ya Rasulullah,

Mereka melakar karikatur mengutukmu,

Di hadapan kami umatmu ya Rasulullah.

 

Ya Habiballah, jangan engkau risau ya Rasulullah,

Kami sentiasa menyayangimu,

Kami memuliakanmu setiap hari,

Jasamu kepada kami tetap terpahat di lubuk paling dalam dihati kami,

Pengorbananmu menjadi inspirasi paling berharga untuk kami terus melangkah,

Melebarkan sayap dakwah yang telah engkau amanahkan kepada umat ini.

اللهم صل على سيدنا محمد

 

Nukilan:

Ustaz Norman Mohd Nor

Yang Dipertua, ISMA Cawangan Kuantan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat