SANDAKAN, 12 APRIL – Suasana penuh kemeriahan dan ukhuwah mewarnai Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran ISMA Sandakan yang berlangsung di Arina Mawarni Hall, Taman Mawar, dengan kehadiran masyarakat setempat serta pelbagai rakan strategik.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil daripada komuniti dan agensi seperti Yayasan Ikhlas, JHEAINS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), PPR Lintas Sibuga, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pengajian Al-Kisaei, Masjid Nurussyakirin dan Masjid Nururrahman Taman Mawar yang bersama-sama memeriahkan sambutan raya kali ini.
Yang Dipertua ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit, dalam ucapannya menekankan kepentingan menjadikan Al-Quran sebagai asas dalam membina komuniti yang sejahtera. Beliau menyeru agar semangat Ramadan yang telah dilalui terus dipelihara, dengan Al-Quran dijadikan panduan dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta membentuk ummah yang berakhlak dan berdaya.
Sementara itu, Ketua Perhubungan ISMA Negeri Sabah, Ustaz Zaidi Bin Mohammad Jalil, turut menyampaikan ucapan yang menyentuh hati dengan menegaskan bahawa hubungan yang terjalin dalam Islam melangkaui ikatan darah. “Kita ni tiada pertalian darah pun, tetapi kerana Islam dan iman, kita dipertemukan dan bersama di sini,” ujar beliau, menggambarkan keindahan ukhuwah yang terbina atas dasar aqidah.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Sarina atas kesudian menyediakan tempat serta juadah bagi menjayakan program ini dengan penuh kemesraan dan keberkatan.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi medan meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai platform mengeratkan silaturahim antara masyarakat, agensi dan rakan strategik, selari dengan usaha membina komuniti yang bersatu dan harmoni.


