Dunia kini sedang bergerak menuju struktur kuasa baharu yang semakin multipolar. Susunan antarabangsa yang selama beberapa dekad lamanya banyak dipengaruhi oleh blok kuasa-kuasa besar tertentu kini sedang mengalami perubahan.
Siri-siri peperangan, krisis ekonomi dan sumber tenaga, konflik politik dunia, persaingan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik turut membuka ruang baharu kepada negara-negara membangun untuk menentukan kedudukan dan kepentingan mereka dalam susunan dan tatanan dunia baharu yang sedang terbentuk.
Negara kita, Malaysia juga tidak terkecuali daripada situasi dan perkembangan ini. Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara yang bertuah kerana memiliki pelbagai sumber strategik. Misalnya, Malaysia mempunyai sumber minyak dan gas, kelapa sawit, kawasan maritim yang luas, kedudukan geografi yang strategik seperti Selat Melaka, industri elektronik, sistem institusi kewangan yang matang, jaringan serantau ASEAN dan juga hubungan kukuh dengan negara-negara Asia dan dunia Islam. Ini semua boleh kita namakan sebagai sumber-sumber nasional yang sewajibnya dibangunkan.
Persoalan kini, bagaimanakah negara kita memanfaatkan sumber-sumber ini dan menukarnya menjadi sumber kuasa? Apakah Malaysia benar-benar mengetahui sumber strategik yang dimilikinya dan nilainya untuk masa hadapan?
Sejauh mana kita mempunyai keupayaan untuk mengurus dan memproses sumber tersebut dengan teknologi sendiri? Berapa banyak nilai tambah yang berjaya kita cipta dan kekalkan dalam negara? Mampukah kita melindungi sumber strategik daripada kehilangan kawalan, eksploitasi atau kebergantungan kepada pihak luar? Adakah kita mempunyai ilmu, teknologi, bakat dan institusi untuk terus mengembangkan nilainya?
Dan akhirnya, sejauh mana segala sumber yang dimiliki Malaysia benar-benar digunakan untuk memperkukuh daya tahan, kedaulatan dan kuasa strategik negara?
Cabaran kita ialah menukarnya kepada ‘strategic power’ atau kekuatan strategik negara.
Pada pandangan saya, sesebuah negara mungkin memiliki sumber alam semulajadi yang kaya, kekuatan perdagangan dan ekonomi, jumlah penduduk yang tinggi, dan pelbagai lagi paksi kekuatan lain. Namun, segala kekuatan ini memerlukan satu keupayaan yang mendahuluinya; iaitu keupayaan untuk membaca realiti dan perubahan seterusnya menentukan apa yang perlu dilakukan terhadap sumber yang dimiliki.
Di sinilah persoalan pengurusan sumber akhirnya menjadi persoalan ilmu dan pemikiran.
Siapakah yang sedang membina kerangka pemikiran kita tentang masa depan negara? Siapakah yang menentukan bagaimana kita memahami masalah sosial, kemiskinan, pendidikan, teknologi, pembangunan bandar, demografi, keselamatan makanan, perubahan geopolitik atau masa depan masyarakat? Adakah kerangka tersebut lahir daripada pembacaan mendalam terhadap realiti Malaysia sendiri atau sebahagian besarnya masih diimport daripada pengalaman dan pemikiran asing?
Persoalan ini penting kerana siapa yang membentuk kerangka pemikiran akan mempengaruhi cara sesuatu masalah ditakrifkan. Siapa yang menentukan takrif masalah pula mempunyai pengaruh besar terhadap penyelesaian yang akhirnya dipilih.
Negara memerlukan dasar keilmuan sebagai salah satu kekuatan strategiknya. Oleh itu, negara mesti bekerja keras bagi melahirkan barisan pemikir dan intelektual serta mendirikan pusat-pusat penyelidikan dan pemikiran. Hal ini, amat penting bagi memastikan negara berupaya membangunkan kebolehan membuat bacaan strategik, membina kerangka pemikiran dan mampu menawarkan pilihan dasar dan polisi untuk negara bergerak ke depan.
Malaysia telah mencapai kemerdekaan politik lebih enam dekad yang lalu. Cabaran generasi hari ini ialah mengisi kemerdekaan itu dengan keupayaan intelektual dan strategik.
Tanggungjawab seterusnya ialah membangunkan kekayaan ilmu ini menjadi kekuatan yang mampu membaca perubahan, memahami keperluan masyarakat, menghasilkan penyelesaian sendiri serta memandu keputusan negara.
Kemerdekaan yang lebih mendalam ialah kemerdekaan untuk berfikir, memahami realiti, menentukan kepentingan dan membina masa depan dengan kekuatan ilmu sendiri. Sebuah bangsa yang sentiasa bergantung kepada kerangka pemikiran, tafsiran kepada realiti dan penyelesaian yang dibentuk oleh pihak lain akan terus mempunyai ruang yang terbatas untuk menentukan haluannya sendiri.
Akhirnya, negara yang benar-benar merdeka ialah negara yang mampu berfikir tentang dirinya sendiri, mentakrif kepentingannya sendiri, mengurus kekuatannya sendiri dan membayangkan masa depannya sendiri.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA


