Solat Tarawih dan Khilaf bilangan Rakaat

1. Solat tarawih dalam mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali adalah 20 rakaat. Dalam mazhab Maliki 36 rakaat. Begitulah amalan majoriti umat dalam masyarakat Islam untuk tempoh yang panjang.

2. Solat tarawih 8 atau 10 rakaat masyhur di kalangan umat dan menjadi amalan umum dalam masyarakat agak lewat.

3. Kesemuanya ada sandaran masing-masing dan tidak ada pendapat yang salah dari segi syarak.

4. Punca perselisihan bilangan rakaat terawih adalah pada:

– perbezaan kaedah ulama dalam menggeluarkan hukum (istidlal dan istinbat) dari dalil yang pelbagai

– perbezaan pada beza antara solat qiamullail (solat malam) dan solat tarawih.

5. Dalil-dalil yang sahih terkumpul dalam masalah bilangan rakaat tarawih:

– hadis Aisyah ra berkenaan solat Nabi di malam Ramadhan iaitu 11 rakaat termasuk witir. (Hadis perbuatan)

– hadis kata-kata Nabi bahawa solat sunat malam adalah dua rakaat dua rakaat (hadis kata-kata)

– riwayat Saidina Umar dan para sahabat solat 20 rakaat di zamannya (amalan sahabat)

– riwayat bahawa penduduk Madinah solat tarawih 36 rakaat selepas zaman Nabi (amal penduduk Madinah)

6. Secara umum;

– ulama yang mengatakan solat tarawih 8 atau 10 rakaat mengambil dalil hadis Aisyah ra. 8 sebab mereka tafsirkan witir 3 rakaat. Yang kata 10 sebab mereka kata witir satu rakaat. Amal sahabat (amalan Umar ra yang solat 20 rakaat) tidak diterima oleh mereka sebagai dalil.

– ulama yang mengatakan 20 rakaat mengambil amalan sahabat di zaman Umar ra. Amal sahabat dalam masalah ibadah menunjukkan ada petunjuk dari Nabi walaupun hadis tentangnya tidak diriwayatkan dalam kitab hadis. Ini metodologi jumhur ulama dalam mengeluarkan hukum. Hadis Aisyah pada mereka tidak kuat kerana ia adalah hadis perbuatan. Hadis perbuatan boleh dipakai dalam perkara harus dan bukan dalam perkara wajib atau sunat.

– ulama yang mengatakan 36 rakaat berpegang kepada riwayat tentang amalan penduduk Madinah pada kurun pertama Islam. Ini kaedah istinbat hukum mazhab Maliki, mereka mengambil amalan penduduk Madinah sebagai dalil syarak. Jumhur ulama tak terima kaedah istinbat ini.

7. Tentang solat sunat malam atau tarawih, ulama sepakat bahawa apa juga solat sunat waktu malam adalah berpahala tak kira apa juga solat. Sunnah untuk solat sunat malam adalah dibuat dua rakaat dua rakaat, dan rakaat ganjil pada witir.

8. Nama solat sunat malam berbeza ikut kaifiat. Tapi semuanya sunat dan berpahala. Contoh solat tahajud, maksudnya solat sunat malam sejurus bangun dari tidur selepas Isyak. Solat hajat, maksudnya solat yang disertakan dengan doa untuk minta hajat khusus. Solat tasbih, solat sunat malam dengan bacaan tasbih pada rukun tertentu.

Solat tarawih masuk dalam kategori solat sunat malam. Maksudnya adalah solat yang ada waktu rehat selepas setiap kali selesai 4 rakaat. Oleh kerana tarawih itu perkataan jamak yang menunjukkan banyak kali rehat, maka ulama letakkan bahawa 20 rakaat lebih tepat utk dipanggil tarawih sebab ada 4 kali rehat di sepanjang 20 rakaat. Kalau 8 rakaat hanya satu kali rehat, jadi tidak sesuai dipanggil tarawih.

9. Kesimpulannya semua pandangan ada sandaran tersendiri dan diiktiraf di dalam syariah. Amalan di Malaysia adalah mazhab Syafie. Tidak perlu untuk wajibkan satu pandangan dan menyalahkan pandangan lain.

 

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 

Presiden ISMA 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat