BANGI, 28 Mac 2020 – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Hj Aminuddin Yahaya hari ini membidas desakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap ahli parlimen Port Dickson iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dibahaskan di parlimen sebelum sebarang bantuan disalurkan kepada rakyat.
Haji Aminuddin Yahaya berkata, PRIHATIN adalah pakej rangsangan khas sewaktu negara berada dalam keadaan kritikal, dan kerajaan perlu bertindak cepat demi kebajikan rakyat. Justeru, cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pakej rangsangan ekonomi berkenaan dibahas di Parlimen disifatkan sebagai tindakan yang lambat.
“Pada waktu kritikal sebegini, kerajaan perlu bertindak cepat. Walaupun terdapat beberapa kekurangan tetapi keseluruhan rakyat bawahan berasa gembira dan berterima kasih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“PH mahu pakej rangsangan RM250 billion ini dibahaskan di parlimen tetapi sebenarnya mereka boleh sahaja membuat pertemuan khas dengan pihak kerajaan tanpa menunggu sidang parlimen yang akan berlangsung pada bulan Mei nanti, iaitu agak lambat,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam perutusan khasnya semalam, mengumumkan sejumlah RM250 bilion diperuntukan oleh kerajaan yang mana memperlihatkan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Secara umumnya, Pakej PRIHATIN ini adalah suatu pakej rangsangan ekonomi khas sewaktu negara berada dalam keadaan yang…
Posted by Aminuddin Yahaya on Sabtu, 28 Mac 2020