Baru sahaja kita meraikan Aidilfitri setelah menumpukan ibadah puasa di bulan Ramadan, kita dikejutkan dengan acara tidur lambak iaitu tidur beramai-ramai secara santai anjuran entiti kreatif dan kolaborasi komuniti.
Walaupun alasannya untuk menghidupkan budaya dan pengalaman bersosial, namun apakah maknanya jika acara tersebut melanggar aturan syarak iaitu percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang menyebabkan mudahnya tersingkap batasan aurat di samping ruang yang mudah bersentuhan antara berlainan jantina.
Bukankan Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat ke-32 mengingatkan agar kita tidak menghampiri zina yang mana segala jalan membawa kepada zina mestilah dijauhi seperti percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
Imam asy-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir menghuraikan ayat ini bahawa segala wasilah (jalan/perantara) kepada sesuatu yang haram, maka perkara yang dicapai melaluinya juga haram.
Jelas di sini bahawa penganjuran acara ini benar-benar bercanggah syarak apatah lagi kita baru sahaja meraikan Aidilfitri iaitu meraikan fitrah diri kita yang suci setelah melalui fasa penghapusan dosa-dosa ketika Ramadan.
Selama ini pun kita tidak pernah mewarisi dari nenek moyang kita acara seperti ini. Dari mana datangnya idea Tidur Lambak ini? Apa tujuannya? Untuk eksperimen sosial yang membawa kepada apa? Apa kebaikan pada masyarakat hasil penganjuran acara ini? Umat Islam di Malaysia mendapat kemaslahatan atau kefasadan dari acara ini?
Masyarakat dan ummah di Malaysia hakikatnya dekat dengan norma dan budaya Islam dan Melayu mengikut panduan syarak. Seharusnya mana-mana individu mahupun penganjur mesti peka terhadap norma ini bahkan tidak mencabar sensitiviti umat Islam di tanah air ini.
Buat penganjur, kembalilah kepada syariat Islam. Anda telah merosakkan bukan sahaja norma dan budaya Islam Melayu di bumi ini bahkan telah mencabar syariat Tuhan yang jelas mengangkat kesucian dan kehormatan sesama insan.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA

